MKN tidak benarkan JDT ke Doha untuk habiskan ACL

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengeluarkan kenyataan bahawa Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim tidak dibenarkan menyambung saingan AFC Champions League di Doha, Qatar minggu depan berikutan penutupan sempadan negara yang tidak membenarkan rakyat Malaysia ke luar negara.

Kenyataan itu dibuat selepas Piala Malaysia ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian, walaubagaimanapun hari ini, Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan bahawa kejohanan tertua itu terpaksa dibatalkan.

Pembatalan tersebut berikutan pihak pentadbir liga tidak berupaya untuk menangguhkan lagi perlawanan dengan mengambil kira banyak faktor terutama melibatkan implikasi kewangan semua pasukan yang bertanding dan kontrak pemain yang bakal tamat 30 November ini.

Disebalik pemerhatian peminat bolasepak tempatan, boleh difahami jika Piala Malaysia dibatalkan atas banyak faktor tertentu, tetapi tidak memberikan kebenaran kepada JDT juga untuk terbang ke luar negara adalah sesuatu yang aneh.

“Polisi kita masih sama, Pintu sempadan kita masih ditutup. Maknanya, warga asing tidak dibenarkan masuk, dan rakyat kita tidak dibenarkan keluar. Polisi ini meliputi semua termasuk pasukan bola, iaitu tidak membenarkan pergerakan yang ramai seperti ini ke luar negara, kita tidak tahu SOP yang ada di negara tersebut.” kata Ismail dalam sidang media harian semalam.

https://i1.wp.com/football-tribe.com/malaysia/wp-content/uploads/sites/13/2020/11/jdt-piala-malaysia-2020-800x532.jpg?resize=750%2C499&ssl=1

“Kita tidak benarkan atas alasan tertakluk kepada polisi sempadan negara ditutup iaitu rakyat kita tidak dibenarkan keluar negara.”

“Semua tidak dibenarkan, menteri-menteri sekali pun sebenarnya yang mempunyai persidangan yang penting, tidak dapat dilakukan kerana menteri-menteri tidak dibenarkan ke luar negara.

“Jadi dalam kes bola sepak ini, kita juga tidak membenarkan bagi menjamin keselamatan pemain-pemain kita kalau mereka ke luar negara yang kita tak tahu bagaimana SOP yang ditetapkan oleh negara itu.”

“Tapi yang pentingnya adalah kerana SOP kita tidak membenarkan rakyat kita ke luar negara. Jadi, untuk pasukan kita ke Doha, kita tidak benarkan.”

Apakah reaksi JDT dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam perkara ini?

Juga apakah reaksi AFC apabila ada pasukan di bawah naungannya tidak dibenarkan bersaing?