Musim 2020, JDT hanya menetapkan sasaran berada empat teratas Liga

Pemilik JDT, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja ketika sesi ‘No Holds Barred’ turut berkongsi mengenai sasaran JDT untuk musim 2020 nanti.

Dengan kehangatan musim baru dengan penampilan pasukan-pasukan lain, TMJ hanya meletakkan sasaran untuk berada empat pasukan terbaik di kedudukan Liga Super selain layak ke Separuh Akhir Piala FA dan Suku Akhir Piala Malaysia.

Bagi kejohanan AFC Champions League, TMJ optimis JDT mampu melepasi peringkat kumpulan dan perlu sentiasa bekerja keras untuk mencapai tahap tersebut yang mana ini merupakan kali ke-2 beraksi di pentas tertinggi Asia di peringkat kumpulan.

Berkongsi mengenai Stadium baharu, TMJ mengesahkan bahawa Stadium Sultan Ibrahim tidak akan sempurna 100% ketika ia digunakan kelak, ianya akan ditambah baik dari masa ke semasa.

TMJ turut menyatakan bahawa, Stadium Sultan Ibrahim ini bukan sahaja sebagai stadium bolasepak, tetapi akan jadi sebagai pusat komersial dan tarikan pelancong baik dalam negara mahupun luar negara.

Ianya akan dilengkapi dengan restoran, cafe, pusat sukan, tempat riadah, rekreasi di keliling stadium, disusuli dengan warna-warni pemandangan stadium kelak. Ianya juga sebagai strategik untuk menarik lebih ramai penyokong untuk hadir ke stadium.

TMJ sebelum ini turut menjelaskan bahawa, pembinaan stadium dan kelengkapan fasiliti sukan baru sahaja 40% dan akan ditambahbaik dengan pelbagai fasiliti lain seperti hotel dan pusat latihan strategik.