Pemergian lagenda bola keranjang, Kobe Bryant

Legenda Los Angeles Lakers, Kobe Bryant, dan anak perempuannya terbunuh dalam satu nahas helikopter, demikian disahkan Pesuruhjaya NBA, Adam Silver.

Rangkaian berita Amerika Syarikat (AS), TMZ, melaporkan Bryant dan anak perempuannya terbunuh dalam satu kemalangan udara di Calabasas, California kira-kira jam 10 pagi waktu termpatan.

Bercakap dalam satu sidang media, Sherif Los Angeles, Alex Villanueva, mengumumkan sembilan orang terlibat dalam kemalangan itu tetapi identiti setiap mangsa masih belum dikenal pasti.

Silver berkata: “Keluarga NBA meratapi kematian tragis Kobe Bryant dan anak perempuannya, Gianna.

“Selama 20 musim, Kobe menunjukkan kepada kami tentang apa yang boleh berlaku apabila bakat luar biasa digabungkan dengan kesetiaan mutlak untuk menjadi juara.

“Dia adalah salah-satu pemain yang paling luar biasa dalam sejarah kami dengan pencapaian seorang legenda: Lima kejuaraan NBA, anugerah MVP NBA, 18 kali terpilih sebagai NBA All-Star dan dua pingat emas Sukan Olimpik.

“Tetapi dia akan paling diingati kerana banyak memberikan inspirasi kepada orang ramai di seluruh dunia untuk memilih bola keranjang dan bersaing dengan kemampuan terbaik mereka.

“Dia kaya dengan kebijaksanaan yang dipelajarinya dan melihatnya sebagai satu misi untuk berkongsi dengan pemain muda dan menurunkan rasa cintanya terhadap sukan ini kepada Gianna.

“Kami mendedikasikan ucapan takziah ini kepada isterinya, Vanessa, dan keluarga mereka, seluruh organisasi Lakers dan seluruh dunia sukan,” katanya.

TMZ berkata saksi di tempat kejadian mendengar enjin helikopter itu terhenti sebelum ia terhempas dan terbakar.

Villanueva memberikan maklumat terkini dalam sidang media bersama Ketua Jabatan Bomba Los Angeles, Daryl Osby, tetapi berkata “tidak sesuai” untuk menamakan mana-mana mangsa yang terkorban.

“Pegawai kami bertindak balas segera di tempat kejadian dan dibantu oleh Jabatan Bomba untuk membentuk kawasan kawalan. “FAA (Pentadbiran Penerbangan Persekutuan) sudah berada di tempat kejadian dan membantu. “Kami sedang menunggu ketibaan pejabat koroner untuk membantu proses-proses lain.

“Sebagai ketua, (Osby) mengesahkan tiada mangsa yang terselamat. “Kami dapat mengesahkan sembilan mangsa berada dalam pesawat itu, juruterbang dan lapan individu lain.

“Tedapat banyak spekulasi mengenai siapa mangsanya tetapi sekarang sangat tidak sesuai untuk mengenal pasti mana-mana mangsa sehingga koroner melakukan pengecaman melalui proses yang sepatutnya dan memaklumkannya kepada waris mangsa.

“Amat tidak sopan untuk mengetahui kematian orang yang anda sayangi melalui TMZ, yang sememangnya tidak wajar, jadi kami tidak akan melakukannya.

“Kami akan menunggu sehingga koroner menyelesaikan tugasnya. “Kami sedang membantu keluarga yang kami percaya terlibat. “Ia satu proses yang sukar. “Doa kami mengiringi keluarga setiap mangsa dan semoga Tuhan memberkata roh mereka.

“Pada ketika ini, tiada apa-apa yang kami boleh jelaskan sehingga koroner menyelesaikan tugasnya. “Apabila kami memperoleh maklumat, kami akan mengumumkannya kepada orang ramai. “Media akan dimaklumkan mengenai pengumuman yang berikutnya,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat sembilan mayat di tempat kejadian, Villanueva menjawab: “Kami percaya, ya.”

Editor: Muzaffar Musa