Penyerang JDT, Syafiq Ahmad terbabit kemalangan

Bayi lelaki pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Syafiq Ahmad yang baru berusia 22 hari antara tiga maut dalam kemalangan awal pagi ini yang turut menyaksikan penyerang JDT itu berserta dua lagi ahli keluarganya cedera.

Dua lagi yang maut dalam nahas kira-kira 5.30 pagi di Km163 Lebuhraya Utara-Selatan di Sungai Bakap itu ialah ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.

Dalam kejadian itu, Muhammad Syafiq, 25, dan seorang lagi anak perempuannya, dikenal pasti sebagai Aaira Nur Saffiya, 2, cedera ringan, namun isterinya Nur Amalina Nur Ain, 25, cedera parah.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 5.36 pagi.

Aksi Syafiq Ahmad ketika bertemu Felda United di Stadium Sultan Ibrahim musim 2020. Foto: JST

“Ketika tiba di lokasi di dapati kenderaan MPV itu berada dalam keadaan remuk teruk selepas dipercayai terbabas sendiri dan melanggar pembahagi jalan. Terdapat enam mangsa dengan tiga daripada mereka tersepit di dalam kenderaan.

“Anggota kemudian membuat kerja-kerja mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, ketiga-tiga mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Kesemua mereka diserahkan kepada pihak polis untuk urusan selanjutnya sebelum bomba menamatkan operasi pada jam 6.12 pagi,” katanya.