Penyokong: Jual tiket ikut cara Eropah, tapi padang?

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) cuba mengambil pendekatan digunakan negara Eropah apabila memperkenalkan harga tiket mengikut ‘kelas’ perlawanan.

FAS dalam kenyataan, kelmarin memaklumkan harga tiket (terbuka) bagi perlawanan pasukan yang dikategorikan sebagai ‘Tier 1’ atau kelas satu membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah, Perak, Pahang dan Terengganu adalah RM20.

Sementara itu, bagi aksi Tier 2 termasuk Felda United, PDRM, Melaka United, Sabah, PJ City dan UiTM ditetapkan pada harga RM15.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon menjelaskan, peningkatan kos penganjuran juga menjadi antara faktor persatuan itu terpaksa memperkenalkan sistem harga tiket berlainan mengikut kelas perlawanan.

Beliau berkata, menggalakkan penyokong membeli pas bermusim yang jauh lebih murah berbanding tiket berasingan turut termasuk dalam fokus utama FAS menggunakan sistem itu.  

“Kalau nak dibandingkan tiket berasingan dengan harga pas bermusim RM109, puratanya lebih murah. Jadi kita nak meringankan beban penyokong tegar Selangor,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

“Kita cuba mengamalkan apa yang dilakukan negara luar terutama Eropah iaitu (tiket) perlawanan tumpuan lebih mahal kerana permintaannya lebih tinggi. Jadi kita nak laksanakan benda itu dalam liga musim ini.

“Pengelasan pasukan membabitkan Tier 1 dan 2 dibuat mengikut prestasi mereka musim lalu termasuk dalam liga, Piala FA dan Piala Malaysia. Malah, berdasarkan rekod perlawanan sebelum ini juga, aksi berdepan pasukan itu (Tier 1) menyaksikan kehadiran penyokong lebih ramai.”

Perlawanan suku akhir dan separuh akhir bagi Piala FA serta Piala Malaysia juga akan dikira sebagai perlawanan Tier 1 dan dikenakan harga tiket RM20. Harga tiket kanak-kanak (6 hingga 12 tahun) untuk kedua-dua perlawanan Tier 1 dan Tier 2 pada musim 2020 pula dikekalkan pada harga RM5.

Kondisi padang?

Walaupun langkah berkenaan bagus, netizen terutama penyokong bolasepak masih mempertikaikan kondisi padang di Stadium Shah Alam yang bakal digunakan. Antara termasuklah persoalan kenapa kondisi padang tidak ikut seperti eropah tapi masih menggunakan padang rumput jenis ‘cowgrass’.

Keadaan padang stadium tersebut turut mendapat perhatian Ketua Jurulatih True Bangkok United berikutan prestasi pasukannya kurang menjadi akibat dari struktur padang yang teruk.

Menanti sepak mula musim 2020, semua pasukan sedang sibuk mempersiapkan pasukan masing-masing dengan mengadakan aksi pramusim. Selangor mengambil langkah berbeza dengan menganjurkan Selangor Asia Challenge 2020 (SAC2020) dengan jemputan 4 penjuru iaitu Bangkok United, Persib Bandung dan Hanoi selain Selangor sebagai tuan rumah kejohanan.

Kejohanan tersebut dimenangi oleh Bangkok United menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 selepas terikat tanpa jaringan. Bangkok United membawa pulang 10,000 USD bersama piala SAC.