Perasmian Stadium Sultan Ibrahim menakjubkan!

Image

Upacara perasmian Stadium Sultan Ibrahim diadakan dengan penuh kejutan dan boleh dikatakan cukup menakjubkan dengan lingkaran LED warna-warni yang menyinari stadium ditambah lagi dengan visual dua ekor harimau yang berkeliaran di Stadium sebelum turun ke tengah padang.

Upacara telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim yang berangkat mencemar duli merasmikan stadium baharu JDT yang dikenali dengan nama Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Acara bermula dengan karnival JDT pada sebelah petang dengan diserikan oleh persembahan artis tempatan di perkarangan Stadium. Menambah seri upacara perasmian dengan persembahan dari artis antarabangsa Leona Lewis, dan Artis anak Johor iaitu Akim dan Ayai.

Dengan perasmian itu, JDT akan menggunakan stadium baharu untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini bermula menentang Kedah pada aksi pembuka tirai Liga Super dan merebut Piala Sultan Ahmad Shah.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim jelas teruja dengan pembukaan stadium baharu itu sekali gus melakar sejarah buat kelab yang ditransformasi sejak 2013 itu.

“Tujuh tahun terakhir ini cukup hebat di dalam mahupun di luar padang untuk JDT dan pembukaan Stadium Sultan Ibrahim menandakan satu lagi sejarah buat Harimau Selatan.

“Selaku sebuah kelab, JDT berkembang sejak dari detik transformasi pada 2013. Kini kami berjaya mengatasi norma biasa dalam bola sepak Malaysia yang sering berusaha untuk mencipta penanda aras yang baharu bakal menaikkan standard dan mencabar batasan di peringkat antarabangsa,” kata Tunku Ismail.

Sepanjang pembinaan stadium yang bernilai lebih RM200 juta sejak Januari 2016, Tunku Ismail adalah tonggak yang memainkan peranan penting dengan terbinanya stadium yang dianggap tercanggih di rantau Asia Tenggara itu.

Tunku Ismail sentiasa memantau pembinaan stadium berkenaan dan terbabit secara langsung termasuk memastikan kedudukan stadium ini menerima cahaya matahari yang mencukupi bagi kebaikan pertumbuhan rumput padang stadium.

Baginda juga memastikan kepingan cermin di keliling kawasan dalam stadium dirapatkan kedudukan kerusi penonton dengan padang selain meletakkan lampu LED berwarna merah, biru dan putih keliling luar stadium untuk pencahayaan. Ianya menjadi lebih eksklusif dan kelihatan mempesonakan bagi sesiapa sahaja yang menonton.

Selain mampu memuatkan 40,000 penonton, stadium yang dibina di atas tanah berkeluasan 28 hektar itu adalah sebahagian dari Bandar Sukan JDT yang akan menempatkan beberapa fasiliti sukan yang bakal dirancang.

FOTO: JOHOR Southern Tigers