Perasmian Stadium Sultan Ibrahim pada 22 Februari ini

Kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mengumumkan bahawa 22 Februari 2020 akan menjadi tarikh bersejarah dan detik keramat apabila Stadium Sultan Ibrahim akan dirasmikan dengan acara gilang-gemilang.

Acara yang ditunggu-tunggu oleh semua penyokong dan peminat Harimau Selatan ini pasti menjadi kebanggaan apabila memiliki stadium bolasepak yang serba canggih di rantau ASEAN malah di Asia.

Aset terbaharu Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berharga ini sedia untuk dirasmikan dengan penuh megah untuk menandakan satu lagi kebanggaan kelab dibawah kepimpinan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Raja.

Stadium Sultan Ibrahim memiliki kapasiti 40,000 penonton termasuk VIP Seat, Grandstand dan Open. Dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan lain termasuk korporat- box, studio, restoran, bilik sidang media, kedai-kedai merchandise dan ruang legar yang berkelas dunia.

Image
Image

Mulai dibina pada tahun 2016 dengan anggaran kos RM300juta tidak termasuk kelengkapan luaran dan pengubahsuaian. Stadium Sultan Ibrahim akan membuka gelanggang untuk perlawanan kompetitif apabila dijadual bertemu Kedah pada aksi sulung Liga Super selain perebutan Piala Sumbangsih.

Pasukan Kuching FA menjadi pasukan lawan pertama beraksi menentang JDT di stadium ini pada aksi persahabatan pra-musim yang berkesudahan JDT menang 4-0.

FOTO: HRH Johor II