Piala Malaysia tertakluk kepada MFL

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyerahkan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuat keputusan terbaik mengenai perjalanan Liga Malaysia (Liga M).

Ia termasuk terdapat tanggapan bahawa format pertandingan Piala Malaysia berkemungkinan perlu diubah atau kejohanan bola sepak tertua negara itu tidak dilangsungkan musim ini susulan penularan COVID-19.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan segala keputusan mengenai perkara itu hanya boleh dibuat oleh MFL selaku badan pentadbir Liga M.

“Susah saya nak komen (mengenai dakwaan saingan Piala Malaysia mungkin dibatalkan), sebab kejohanan dan jadual semua di bawah MFL,” katanya ketika dihubungi BH Sukan, semalam.

“Jadi MFL yang akan tentukan dan mengeluarkan keputusan terperinci yang akan memberi kebaikan kepada semua pihak. Kami hanya tengok tarikh membabitkan pasukan kebangsaan saja.”

Sebelum ini, terdapat dakwaan di media sosial bahawa kemungkinan saingan Piala Malaysia tahun ini terpaksa dibatalkan sekiranya situasi penularan COVID-19 terus berpanjangan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan


Malah, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan sebelum ini juga dilaporkan akan mendapatkan pandangan daripada semua pihak dalam membuat sebarang keputusan termasuk mengenai status saingan Piala Malaysia musim ini.

“Kita susah ada beberapa strategi dan perancangan untuk memastikan Liga M berjalan lancar sebaik penangguhan liga berakhir disebabkan penularan COVID-19.

“Tapi kita juga sedia mengambil apa saja pandangan daripada pasukan demi kebaikan liga. Saya ambil maklum akan cadangan itu (rombak format Piala Malaysia) yang akan dibincangkan nanti,” katanya.