Piala Next Media B-18 AFF 2019: Presiden FAM ucap tahniah

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin tetap mengucapkan tahniah kepada skuad B-18 kebangsaan kendalian Brad Maloney di final biarpun tidak bergelar juara Piala Next Media B-18 AFF 2019 selepas tewas 1-0 kepada Australia di Ho Chi Minh City, Vietnam, hari ini.

“Para pemain sudah menampilkan aksi cemerlang serta terbaik pada perlawanan ini tetapi apa yang penting saya mahukan anda terus fokus pada perlawanan kita yang akan datang iaitu Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Kemboja pada 2-10 November ini.

“Kita tidak perlu menoleh ke belakang sebaliknya terus maju ke hadapan dengan jadikan kesilapan kekalahan ini sebagai iktibar untuk perlawanan lain selepas ini.

Image
Dato’ Haji Hamidin Md Amin. Presiden FAM. Foto FAM

“Tahniah dan terima kasih kepada Brad dan barisan kejurulatihannya iaitu Khan Hung Meng dan Yong Wai Hwang serta pegawai-pegawai lain diketuai pengurus pasukan yang juga exco FAM, Dato’ Kamarul Ariffin Mohd Shahar yang turut sama bekerja keras sepanjang hampir dua minggu mereka berada di Vietnam,” kata Dato’ Haji Hamidin.

Pada Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 ini, Malaysia diletakkan dengan Kumpulan G dengan tuan rumah, Kemboja, Thailand, Brunei dan Northern Mariana Islands.