PJ City tangguh kejuaraan JDT

PJ City menangguhkan impian Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk meraih kejuaraan ketujuh lebih awal selepas kedua-kedua pasukan itu terikat 2-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

JDT yang juga juara Liga Super enam kali berturut-turut memenangi semua empat perlawanan sejak Liga Malaysia (Liga M) bersambung semula pada hujung bulan lalu termasuk meraih kemenangan besar ke atas Perak dan Selangor.

Keputusan itu bagaimanapun langsung tidak menjejaskan kedudukan skuad Benjamin Mora yang kini di ambang merangkul gelaran juara buat kali ketujuh dan perlu menunggu keputusan perlawanan antara Pahang dan Kedah, esok.

JDT yang membelasah Selangor 6-1 minggu lalu terpaksa menunggu minit ke-35 untuk membuka tirai jaringan selepas Safawi Rasid menyudahkan umpanan Diogo Luis Santo.

Kedudukan itu hanya bertahan dua minit apabila Christie Jayaseelan bijak menggunakan peluang di depan pintu gol untuk meledak gol penyamaan PJ City.

PJ City berjaya mendahului JDT selepas K Gurusamy menyudahkan sepakan penalti pada masa kecederaan babak pertama.

Namun hanya kira-kira seminit selepas itu kedudukan berubah lagi apabila giliran Gonzalo Cabrera pula menyempurnakan sepakan penalti untuk menyamakan kedudukan buat JDT.

Tiada jaringan berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan pada babak kedua yang menyaksikan kedudukan 2-2 kekal hingga tamat permainan.