Siapa yang bayar Mahal? TMJ jawab spekulasi gaji mahal JDT

SIAPA YANG BAYAR MAHAL?

Apabila pasukan mempunyai masalah kewangan ia sentiasa disebabkan daripada kesilapan pengurusan. Ia bermaksud anda tidak bertanggungjawab dan anda telah berbelanja lebih daripada apa yang anda terima. Inilah kes yang berlaku dalam bola sepak tanah air. Tetapi ada juga pihak tidak bertanggungjawab yang ingin lepas tangan dan mengatakan oleh kerana Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) beli pemain mahal, jadi mereka pula kena bersaing dan perlu bayar mahal.

JDT merupakan sebuah kelab yang besar tetapi berjaya menjaga perbelanjaan. Contohnya, ketika kami menandatangani Haziq Nadzli (penjaga gol Malaysia) beliau menerima gaji hanya RM11,000. Safawi Rasid pula, penjaring terbanyak kami untuk musim ini yang juga merupakan pemain muda bernilai hanya menerima gaji sebanyak RM12,000. Syameer Kutty, RM14,000 dan Dominic Tan, RM 15,000. JDT telah melepaskan pemain yang diberikan gaji mahal seperti Safee Sali, Nazrin Nawi, Chanturu dan Gopinathan tetapi pemain yang berada di JDT semuanya yang diberikan gaji yang munasabah. Kelab lain membayar sejumlah gaji yang lebih besar kepada pemain. Sebagai contoh, Indra Putra Mayuddin dibayar sehingga RM70 ribu dan Nor shahrul Idlan Thalaha dibayar sehingga RM100 ribu semasa bermain dengan pasukan ATM.

Oleh itu, bagi saya apabila ada masalah kewangan atau pun tidak boleh bayar gaji pemain ia adalah jelas berpunca dari kesilapan pengurusan. Oleh itu, tidak perlu menggunakan JDT sebagai alasan atas kesilapan anda.

Ketika saya tandatangani Safawi dari T-Team, beliau terima tawaran sebanyak 30 ribu hingga 40 ribu daripada pasukan lain tetapi beliau datang kesini dengan harga 12 ribu sahaja. Kenapa? Kerana ini adalah sebuah kelab bola sepak. Anda tahu apabila anda bermain untuk JDT, anda akan ada fasiliti yang terbaik, jurulatih yang bagus, anda dikelilingi oleh pemain yang terbaik dan anda bermain di peringkat antarabangsa seperti Piala AFC. Pemain JDT diberikan gaji yang munasabah dan mereka juga menerima ‘good bonus’. Jadi ini adalah ’win-win situation’. Pendedahan yang anda terima bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Kini, Safawi dan rakan-rakan akan jadi pemain pertama di negara ini yang akan bermain di kejohanan ACL. Jadi apabila ada pihak mengatakan pemain datang ke JDT kerana duit sahaja sebenarnya ia sama sekali tidak benar. Meraka datang ke sini kerana ingin bermain untuk sebuah kelab bola sepak yang profesional.

Dan saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada JDT kerana telah memenangi 11 piala dengan fasiliti terbaik, kejayaan luar dan dalam padang tanpa menggunakan satu sen pun duit dari kerajaan.

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor