Sokong Hamidin jadi Presiden FAM – Subahan

Vdsdfrewrf c.transformed
SUBAHAN (kiri) beri sokongan penuh kepada Hamidin. -Foto BERNAMA

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal tampil memberi sokongan penuh kepada Datuk Hamidin Mohd Amin untuk menerajui badan induk itu dengan menyifatkan setiausaha agung itu produk Selangor.Beliau berkata, Hamidin yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dari 1998 hingga 2013 adalah calon terbaik untuk mengisi kerusi Presiden FAM yang ditinggalkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Saya sebagai Presiden FAS, memang percaya Hamidin adalah calon terbaik. Ia satu penghormatan apabila TMJ memilih Hamidin sebagai pengganti. Beliau tahu selok belok bola sepak Malaysia, tak ada orang lain selain Hamidin,” jelas Subahan pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Pertama Exco FAM hari ini.

Kenyataan Subahan itu jelas menutup segala spekulasi kemungkinan beliau turut berminat untuk menggantikan Tunku Ismail yang membuat keputusan meletakkan jawatan, genap setahun menerajui FAM pada 25 Mac lalu.

Malah Subahan yang meraih undi tertinggi iaitu 37 untuk memenangi kerusi Timbalan Presiden FAM pada pemilihan tahun lalu bersikap profesional dengan memberi laluan kepada seorang lagi timbalan presiden, Datuk Yusoff Mahadi untuk menjadi pemangku presiden sebaik ahli Exco badan induk itu menerima peletakan jawatan TMJ hari ini.

“Tahniah kepada Yusoff, saya sebagai timbalan presiden dan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor memang menyokong penuh beliau menjadi pemangku presiden sehingga pemilihan pada Kongres FAM 14 Julai ini.

“Ini kerana beliau lebih layak walaupun ada yang menyatakan sepatutnya, itu… dan ini… (Subahan dipilih) tapi sebenarnya tak timbul masalah.

“Saya sendiri pun kalau diberi peluang tak sanggup kerana selaku Presiden Persatuan Hoki Malaysia juga ada tanggung jawab lain yang perlu saya galas dan bagi saya yang penting adalah muafakat, bukannya jawatan,” katanya.

Pencalonan bagi pemilihan presiden baru FAM dibuka secara rasmi hari ini sehingga tarikh tutup pada 11 Mei sebelum pelantikan dibuat pada Kongres FAM, 14 Julai depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published.