Stadium Sultan Ibrahim dalam kekemasan akhir

Stadium Sultan Ibrahim kini dalam proses kekemasan akhir sebelum pihak kontraktor menyerahkan projek berkenaan ke JDT pada 20 Januari ini. Stadium yang akan menjadi venue rasmi pasukan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim musim 2020 ini bakal menjadi mercu tanda negeri Johor Darul Ta’zim.

Menurut Setiausaha Kehormat JDT, Kapten Mohd Anizam Jamian, antara kawasan-kawasan yang sedang dalam proses akhir termasuklah bilik persalinan pemain, bahagian dalaman ‘corporate box’, kaunter-kaunter tiket dan karpet sisi padang.

“Lampu LED pada masa ini sedang dinaiktaraf bagi membolehkan pengalaman menyaksikan perlawanan yang lebih baik manakala ‘turnstile’ penyokong yang dipasang adalah buat sementara kerana ‘turnstile’ yang lebih canggih – pertama di Malaysia – telah ditempah dan akan tiba pada bulan April.”

“Tempat duduk kawasan ‘Grandstand’ telah dipasang dengan kerusi plastik sementara menunggu kerusi kulit tiba pada bulan Mac.”

JDT akan beraksi di Stadium Sultan Ibrahim pada pembuka tirai saingan Liga Malaysia 2020 untuk perlawanan Piala Sumbangsih bertemu Kedah pada 28 Februari 2020.