Sultan Johor lepaskan 108 penunggang Lady Bikers

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan melepaskan 108 penunggang motosikal wanita dari seluruh negara dan Brunei sempena Majlis Pelepasan Lady Bikers Tourism Ride 18 di Istana Pasir Pelangi di sini hari ini.

Program julung kali dianjurkan kerajaan negeri melalui Tourism Johor itu membabitkan jelajah ke 14 lokasi pelancongan negeri itu bermula hari ini hingga 8 Julai ini.

Antara lokasi dikunjungi adalah Marina Puteri Harbour; Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos Larkin; Kompleks Yayasan Warisan Johor; Dataran Bandaraya Johor Bahru serta Laman Mahkota.

Mereka juga akan mengunjungi Zeromile; Muzium Tokoh; Muzium Nelayan Tanjung Balau; Pantai Tanjung Balau; Muar River Cruise dan Desa Keroma Eco Resort, Muar pada jelajah tiga hari dua malam itu.

Program membabitkan perjalanan sejauh 1,000 kilometer dengan jelajah bermula dari Putrajaya semalam sebelum ke Johor Bahru hari ini seterusnya Kota Tinggi dan berakhir di Muar.

Hadir sama pada majlis pelepasan itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani, Ketua Lady Bikers merangkap Ketua Sekretariat Konvoi, Maznah Mohamad serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Negeri, Liow Cai Tung.

Liow berkata, objektif penganjuran program bagi mempromosikan produk pelancongan Johor.

“Ia bagi mempelbagaikan tarikan pelancongan negeri itu, sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke Johor khususnya pelancong tempatan.

“Pada masa sama ia akan memperluaskan kempen promosi produk, perkhidmatan pelancongan negeri dan membangunkan pakej pelancongan bagi aktiviti bermotosikal secara berkonvoi,” katanya.

Menurutnya, acara itu mendapat sokongan dan kerjasama pelbagai pihak membabitkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Tourism Malaysia serta pelbagai agensi lain.

Katanya, sebagai langkah permulaan, kerajaan negeri melalui Tourism Johor akan melancarkan tiga pakej pelancongan permotoran Johor membabitkan tiga laluan berbeza.

“Pakej pertama membabitkan laluan Putrajaya-Johor Bahru-Desaru- Kota Tinggi-Kluang-Muar-Putrajaya.

“Pakej kedua membabitkan laluan Putrajaya-Muar-Batu Pahat-Putrajaya dan pakej ketiga, Putrajaya-Johor Bahru-Kluang-Segamat dan Putrajaya,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri berharap acara itu menjadi pemangkin kepada penggerak industri pelancongan Johor dalam usaha menjadikan negeri itu sebagai destinasi menarik bagi aktiviti jelajah bermotosikal.

“Saya yakin kerjasama semua pihak dapat menyemarakkan industri pelancongan domestik di negeri ini sekali gus menarik minat kelab permotoran luar negara datang, bermalam dan berbelanja di Johor,” katanya.

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan melepaskan 108 penunggang motosikal wanita dari seluruh negara dan Brunei sempena Majlis Pelepasan Lady Bikers Tourism Ride 18 di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini. – Foto Hairul Anuar Rahim

Leave a Reply

Your email address will not be published.