Sumareh sah sebagai pemain tempatan

Related image

Malaysian Football League (MFL) menerusi Lembaga Pengarah telah pun mengesah dan memutuskan untuk menerima permohonan rayuan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) untuk memberikan status Mohamadou Sumareh sebagai pemain tempatan.

Perkara berkenaan disahkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam dengan status pendaftaran Sumareh sebagai pemain tempatan berkuatkuasa semalam.

Kevin menjelaskan Ahli Lembaga Pengarah MFL menerima rayuan pasukan Pahang untuk mendaftarkan pemain kelahiran Gambia itu sebagai pemain tempatan pada jendela perpindahan pertama musim 2019.

Beliau berkata, keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira persembahan cemerlang pemain naturalisasi pertama negara itu sepanjang mewakili Malaysia di Piala AFF Suzuki hujung tahun lalu.

Sumareh ketika beraksi bersama skuad Kebangsaan.

“Selepas pertimbangan yang sewajarnya Lembaga Pengarah MFL dengan pemain itu sudah mewakili pasukan kebangsaan Malaysia dan berjaya membawa pasukan kebangsaan ke peringkat akhir Piala AFF 2018.

“Lembaga Pengarah MFL mengambil keputusan membenarkan permohonan kedua pasukan PBNP untuk membenarkan pendaftaran Sumareh dalam jendela perpindahan pertama musim 2019.

“(Ia) sebagai satu usaha yang mempunyai anjakan paradigma ke arah penambah baikkan Liga Malaysia, Lembaga Pengarah MFL percaya bahawa keputusan ini adalah suatu keputusan yang telus dan adil kepada pasukan PBNP dan juga pemain itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Keputusan dibuat MFL itu sebenarnya lebih awal daripada jangkaan Kevin yang sebelum ini menjelaskan status pendaftaran Sumareh hanya akan diketahui Rabu ini.