Syafiq ledak hatrik benam Sri Lanka

Skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe mudah menewaskan pasukan ranking ke-202 dunia, Sri Lanka 6-0 pada Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Ia persiapan skuad Harimau Malaya yang kini di ranking ke-158 dunia bagi menghadapi perlawanan ketiga Kumpulan G, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Vietnam di Hanoi pada 10 Oktober 2019.

Pada aksi malam tadi, Cheng Hoe meletakkan pemain pertahanan berpengalaman, Aidil Zafuan Abd Radzak yang kembali dipanggil kali ini di dalam kesebelasan utama.

Bagaimanapun, skuad kebangsaan turun tanpa kelibat pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh yang masih menjalani penggantungan bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 serta Nor Azam Abdul Azih, Shahrel Fikri Md Fauzi dan J Partiban yang tiada di bangku simpanan kerana masih cedera.

Syafiq Ahmad membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan selepas menyudahkan hantaran Safawi Rasid dari sebelah kanan.

Gol kedua Malaysia menyusul pada minit ke-14 menerusi pemain pertahanan, Shahrul Saad selepas bola sepakan sudut Safawi ditanduk tipis ke belakang oleh Syafiq dan kemudiannya disudahkan dengan tenang oleh Shahrul.

Norshahrul Idlan Talaha menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-17 selepas penyerang berusia 33 tahun itu berjaya menyempurnakan peluang di hadapan pintu gol Sri Lanka menerusi bola hantaran Syafiq dari sebelah kanan.

Bersambung babak kedua, Malaysia tidak menunggu lama untuk menambah gol keempat pada minit ke-51, kali ini menerusi Akhyar Rashid selepas bola hantaran lintang Norshahrul Idlan sekadar ditepis ke belakang oleh penjaga gol Sri Lanka, Hilmi Luthfi lantas disudahkan oleh Akhyar.

Malaysia terus garang apabila menambah gol kelima menerusi jaringan kedua peribadi Syafiq pada minit ke-76 selepas tandukan Danial Amier Norhisham dikejar laju Syafiq yang berjaya mengatasi dua pertahanan Sri Lanka dan melepaskan sepakan menewaskan Hilmi.

Pada minit ke-85, Syafiq hampir melengkapkan hatrik, namun percubaan satu lawan satu berjaya ditepis keluar oleh Hilmi.

Bagaimanapun, jaringan hatrik yang dicari Syafiq hadir juga pada minit ke-89 menerusi satu sepakan voley menarik dari luar kotak penalti untuk gol keenam Malaysia dan gol ketiga peribadinya.