‘Tak dapat dielakkan’ – Spurs mohon maaf kepada peminat

Tottenham Hotspur memohon maaf kepada penyokong selepas mengeluarkan kenyataan terbaru untuk menerangkan keputusan “tidak dapat dielakkan” mengenai penundaan pembukaan stadium baru.

Wajah baru White Hart Lane sepatutnya dijadualkan siap ketika Spurs menjadi tuan rumah kepada Liverpool pada 15 September.

Bagaimanapun, Spurs mengumumkan bahawa timbul “masalah berkaitan sistem keselamatan kritikal” yang tidak dapat dielakkan, Ini bermakna, perlawanan serta aksi di laman sendiri Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Cardiff City akan beralih ke Wembley.

Tottenham melangsungkan kesemua perlawanan pada musim lalu di Wembley sementara kerja-kerja di White Hart Lane dijalankan. Dan kelab itu menyatakan dalam satu kemas kini semalam bahawa kembali menggunakan stadium nasional sentiasa menjadi kemungkinan.

“Kelewatan adalah perkara biasa berkaitan projek berskala besar dan kerumitan sebegini, namun kami sangat kecewa kerana masalah sistem ini berlaku di peringkat akhir,” menurut satu kenyataan Spurs.

“Walaupun kami dapat mengurangkan masalah itu, kami tidak boleh berkompromi dengan keselamatan.

“Keputusan ini tidak dapat dielakkan.

“Kami juga ingin menjelaskan perkara yang tepat mengenai berita semalam yang membabitkan kami kembali ke Wembley. Pilihan itu sudah dipertimbangkan pada akhir tahun lalu lagi — bukan sebagai tindak balas kepada isu ini — sebagai pilihan yang wajar memandangkan ia membabitkan pembinaan serta kemungkinan isu seperti ini akan timbul.

“Pengumuman malam tadi telah dibawa ke hari ini dalam usaha menyalurkan maklumat kepada peminat dengan seberapa segera memandangkan kekeliruan yang tercetus selain perbincangan mesyuarat lembaga telah terdedah kepada umum. Oleh itu, kami tidak dapat mengeluarkan butiran pembayaran balik dan tiket seperti yang dirancangkan.

“Kami sepatutnya meminta maaf kepada penyokong atas kelewatan ini. Kami menyedari kekecewaan penyokong dan kini akan mengkajinya demi memastikan bahawa kami meminimumkan sebarang kesulitan.

“Pasukan pembinaan kami sedang berusaha keras untuk mengatasi masalah ini dan kami akan memastikan anda semua mendapat perkembangan terkini. Terima kasih atas sokongan anda pada waktu yang mencabar ini.”