Tan Cheng Hoe kekal bimbing Harimau Malaya

Desas-desus apakah status Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan, Tan Cheng Hoe terjawab selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan untuk terus mengekalkannya dengan tempoh kontrak sehingga tahun 2020.

FAM juga menetapkan KPI yang lebih tinggi buat Cheng Hoe dengan membawa Harimau Malaya ke prestasi yang lebih baik dan membawa pulang Piala AFF Suzuki tahun 2020 selain layak ke Piala Asia 2023.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata selepas melihat prestasi sepanjang setahun Cheng Hoe mengendali pasukan kebangsaan bermula Disember 2017.

“Selepas segala spekulasi yang timbul, hari ini kita menamatkan segala persoalan yang timbul dengan menawarkan kontrak baharu selama dua tahun kepada Cheng Hoe.

“Kali ini Petunjuk Prestasi Utama (KPI) lebih mencabar dan beliau bersedia menyahut cabaran tersebut,” katanya ketika sidang media semalam.