“Teruskan” – Itu respon TMJ

Beberapa hari lalu Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengatakan pihaknya tetap akan bawa kes bekas penyerangnya Akhyar Rashid dan Kelab Bolasepak JDT ke pengetahuan FIFA dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Ianya berikutan dari sumber yang diperolehi dengan mengatakan wujud usaha antara Akhyar dan JDT sehingga mendorong penyerang terbaik ABK 2018 untuk meninggalkan pasukan.

Tunku Mahkota Johor yang juga pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bagaimanapun telah menjawab isu tersebut.

“Jikalau Kedah merasakan bahawa mereka mahu membawa Akhyar atau Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) ataupun FIFA, teruskan.” kenyataan Tunku Ismail menerusi laman sosial rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers.

Penyerang Terbaik ABK2018, Akhyar Rashid

“Terdapat klausa dalam peraturan bola sepak yang menyatakan bahawa seorang pemain boleh meninggalkan pasukan pada akhir musim sekiranya beliau inginkan, dengan mengikut prosedur tertentu.”

Tunku Ismail juga memberitahu, JDT berunding dengan Akhyar ketika pemain tersebut telah diisytiharkan sebagai ejen bebas. Jadi, apakah kesilapan JDT untuk menandatangani Akhyar selepas ada pengumuman oleh FAM bahawa beliau dibenarkan menjadi ejen bebas?

“Jika hari ini Safawi Rasid datang kepada saya dan mengatakan beliau mahu menebus kontraknya dan meninggalkan kelab ini, saya akan terima dengan hati yang terbuka.”

Tunku Ismail juga mengatakan yang baginda tidak boleh kecewa jika ada pemainnya yang mahu meninggalkan pasukan. Baginda akan menyalahkan diri sendiri kerana gagal menjaganya dengan baik dan bukannya menuding jari menyalahkan pihak lain.

“Pertama, anda tidak faham peraturan. Kedua, anda menyalahkan orang lain untuk kelemahan anda sendiri.” Tambah Tunku Ismail.

Sebelum ini Peguam Undang-undang Sukan memberitahu, Akhyar dan JDT boleh dikenakan tindakan jika terdapat bukti ada rundingan antara kedua-duanya.

Tambahnya lagi, terdapat kerumitan jika KFA membawa kes tersebut kerana Jawatankuasa Rayuan FAM yang merupakan badan bebas telah membuat keputusan sama dengan keputusan dari Jawatankuasa Status FAM.

KFA juga dikehendaki mengemukakan bukti penglibatan bekas pemainnya itu dengan JDT. Proses pendakwaan juga mengambil masa yang lama dan perlu mengeluarkan kos yang tinggi.