Thank You Luciano Figueroa!

Baru-baru ini Luciano Figueroa telah menaikkan satu status bahawa beliau akan meninggalkan JDT dan akan kembali ke negara asalnya Argentina atas tuntutan keluarga. Ucapan terima kasih juga turut dizahirkan Kelab menerusi laman sosial rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers.

Luciano Figueroa atau lebih selesa dengan nama Lucho telah membuat 71 penampilan sepanjang bersama JDT dengan 43 gol dijaringkannya dan 14 bantuan gol.

Luciano Figueroa nama yang tidak asing dalam kancah bolasepak Malaysia apabila pernah menjadi penyerang paling berbisa yang dimiliki JDT. Kebolehannya yang mampu menjaringkan walau apa jua keadaan dan situasi tidak kira melalui rembatan, bersahaja, tandukan mahupun menerusi sepakan percuma dan penalti untuk menerjah jaring lawan.

Kelibatnya juga di bahagian serangan turut dikongsikan untuk memberi bantuan gol kepada rakan sepasukan. Inilah jiwa keluarga yang ada pada Lucho yang akan memastikan JDT mencipta kemenangan.

Antara pencapaian yang diraih Lucho adalah telah membantu JDT menjuarai Liga Super sebanyak 4 kali, Piala Sumbangsih 3 kali, Piala Malaysia dan yang paling istimewa menjulang Piala AFC tahun 2015.

Setelah mengumumkan persaraan, Lucho telah ditawarkan untuk menjadi Duta JDT dan seterusnya dilantik sebagai Pengurus pasukan JDT pada tahun 2018 sehingga membantu JDT menjuarai Liga Super musim sama, tahun 2019 dan 2020.

Dalam perkembangan lain, Pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor turut mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga buat Lucho dan menggelarkan sebagai lagenda JDT.

Ianya dibuktikan apabila TMJ mengabadikan salah satu stand di Stadium Sultan Ibrahim sebagai The Luciano Figueroa Stand pada bulan lalu. Ini menunjukkan pencapaian dan kejayaan JDT dikongsikan dan dizahirkan bersama kepada sesiapa sahaja yang berjaya untuk kelab.