Tiket JDT All-Stars Friendly mula dijual esok serendah RM20

Para penyokong yang menghadiri perlawanan Liga Super Malaysia antara Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Selangor pada hari Rabu, 19 Jun 2019 akan menjadi antara yang pertama untuk mendapatkan tiket perlawanan ‘JDT All-Stars Friendly’ apabila kaunter tiket khas akan dibuka esok dari jam 3.00 petang hingga 8.00 malam.

Tiket berharga RM50 (Tempat Berbumbung), RM30 (Pintu C) dan RM20 (Pintu A&B). Kaunter juga akan dibuka antara jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang dari 20 hingga 30 Jun (tertakluk sekiranya masih ada). Pembelian tiket atas talian boleh didapati di www.tickethotline.com.my.

Para pemegang tiket juga berpeluang memenangi hadiah-hadiah cabutan bertuah yang menarik seperti motosikal, barangan elektronik serta cenderahati.

Antara nama-nama pemain yang akan beraksi bersama DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor adalah adalah Ronaldo, Claudio Caniggia, Robert Pires, Edgar Davids, Rivaldo, Marco Materazzi, Gianluca Zambrotta, Bebeto, Esteban Cambiasso, Claude Makalele, Florent Malouda dan ramai lagi. Beberapa pemain dan kakitangan JDT juga turut dimasukkan ke dalam senarai pasukan JDT TMJ dan ‘JDT Rest of the World’.

Para legenda bola sepak yang berkunjung ke Johor juga akan mengadakan sesi ’coaching clinic’ bersama para pelatih JDT Akademi di Pusat Latihan Padang Seri Gelam dan menghadiri sesi ‘meet & greet’ bersama penyokong-penyokong bertuah di JDT Café pada 1 Julai.

Semua hasil kutipan akan disumbangkan kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Women’s Aid Organisation.