TMJ berangkat ke Itali untuk bertemu Pengerusi Juventus FC, Andrea Agnelli

Tatkala ramai memperkatakan tentang kemampuan JDT beraksi di pentas ACL dan berjaya menandigi kehebatan Kashima Antlers dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2019, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan berangkat ke Kota Turin, Itali.

Menurut satu posting daripada laman sosial JOHOR Southern Tigers, keberangkatan baginda yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) untuk bertemu dengan Pengerusi Kelab Bola Sepak Juventus bagi membincangkan peluang kolaborasi antara pasukan miliknya dan gergasi Itali tersebut.

Foto kredit: JOHOR Southern Tigers

“DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor berangkat ke Itali hari ini, 5 Mac 2019 untuk sesi pertemuan bersama Pengerusi Juventus FC, Andrea Agnelli bagi membincangkan kolaborasi serta jalinan kerjasama antara Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Juventus FC.

“Baginda turut menerima jemputan khas menyaksikan perlawanan Liga Serie A antara Juventus FC menentang Udinese pada 9 Mac 2019.” tulis kenyataan di JOHOR Southern Tigers.

Kolaborasi bersama kelab-kelab bola sepak terkemuka dunia bukan perkara baharu buat juara Liga Super Malaysia lima kali berturut-turut. Sebelum ini, JDT telah menjalinkan kerjasama dan kolaborasi dengan kelab seperti Borussia Dortmund, Valencia CF, Hokkaido Consadole Sapporo dan beberapa lagi.

Untuk makluman, perjumpaan bersama Pengerusi Juventus FC pernah dimaklumkan oleh pihak JDT pada penghujung tahun lalu. Peluang tersebut hadir menerusi rakan baik Tunku Ismail sendiri iaitu Jorge Mendes yang dikenali sebagai ‘super agent’ dalam kancah bola sepak dunia.

“Sejurus perbualan telefon saya bersama rakan baik saya, Jorge Mendes, saya akan ke Itali pada bulan Februari untuk bertemu dengan pemilik Kelab Bolasepak Juventus, iaitu Keluarga Agnelli, bagi membincangkan potensi kerjasama antara Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim dan gergasi Itali itu, Juventus.” titah baginda menerusi laman JOHOR Southern Tigers pada disember tahun lalu.

Foto Kredit: HRH Crown Prince of Johor / JOHOR Southern Tigers