TMJ puji usaha Terengganu naik taraf padang Stadium Sultan Mizan

Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) memuji usaha yang dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) dengan menaik taraf padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak.

Ucapan syabas dan tahniah juga disertakan melalui muat naik Instagram Story baginda, “Syabas Terengganu. Inilah cara untuk maju kehadapan dan meningkatkan piawaian kelab bola sepak. Paling penting nombor 1, kualiti padang bola sepak. Tahniah.”

Berdasarkan perkongsian laman sosial, Pengurusan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, kerja-kerja naik taraf padang di SSMZA yang terletak dalam Kompleks Sukan Negeri Terengganu itu sedang giat dijalankan. Ketika ini, kakitangan pengurusan kompleks sukan terbabit terlibat dalam fasa pengalihan rumput sebelum pihak kontraktor MFL memulakan kerja membina padang baharu.

Sebelum ini, pihak kerajaan negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, YB Wan Sukairi Wan Abdullah telah mengumumkan bahawa pembiayaan naik taraf padang tersebut datangnya daripada MFL dengan jumlah RM1 juta.

Image may contain: one or more people, grass and outdoor
Foto: Pengurusan Kompleks Sukan Negeri Terengganu

Apabila kerja-kerja naik taraf pada tersebut siap sepenuhnya, skuad Terengganu Football Club (TFC) dapat bermain di atas padang yang lebih berkualiti.

Disamping itu, SSMZA memiliki kapasiti penonton jauh lebih besar, lebih kurang 50,000 tempat duduk berbanding Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) yang hanya mampu memuatkan lebih kurang 15,000 orang.

Foto Kredit: Pengurusan Kompleks Sukan Negeri Terengganu