TMJ tunai janji bermain bersama skuad Harimau Kudung

Bermula dengan ciapan ringkas di twitter, DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja menyatakan persetujuan untuk menerima mengadap Persatuan Bola Sepak Kudung Malaysia sekaligus pelawaan beraksi bersama mereka.

Ianya bermula dari permohonan seorang penyampai TV mewakili Persatuan Bola Sepak Kudung Malaysia yang berhajat untuk mengadakan perlawanan persahabatan pada 17 Disember 2019 yang lalu. Dari perkongsian ramai, DYAM Tunku Pemangku Raja berkenan menerima permohonan tersebut.

Tarikh 6 Januari 2020 menjadi saksi, TMJ berangkat hadir untuk bersama mereka yang digelar ‘Harimau Kudung’ sambil melawat di Pusat Latihan Padang Seri Gelam, Johor Bahru.

Apa yang lebih menarik perhatian adalah pelawaan untuk bermain bersama ‘Harimau Kudung’ ditunaikan. Baginda turunkan darjatnya untuk menunaikan impian mereka. TMJ bersama tiga pemain JDT iaitu Hariss Harun, Aidil Zafuan dan Penjaga gol, Farizal Marlias beraksi dengan menggunakan tongkat untuk merasai kepayahan mereka yang kurang upaya ini.

Baginda juga berbesar hati menyumbang RM20,000 kepada skuad Harimau Kudung dan memberi kata-kata semangat agar mereka berjaya layak ke Piala Dunia Kudung Tahun 2022.

Sepertimana yang diperkatakan, ‘JDT bukanlah sekadar kelab bolasepak’ itu menunjukkan yang JDT benar-benar serius dalam setiap segi pembangunan, perancangan, kerjasama, tanggungjawab sosial dan kewajipannya tidak kira di dalam padang mahupun diluar padang.

JDT yang sentiasa terbuka menerima kunjungan mana-mana persatuan, agensi, pertubuhan atau kelab dalam berkongsi ilmu kepakaran, fasiliti dan idea, itu pun jikalau mereka merendahkan diri belajar apa yang terbaik dalam sesebuah pengurusan bolasepak.

Tahniah dan Terima kasih TMJ dan para pemain serta pengurusan JDT atas layanan yang istimewa serta meletakkan kepentingan yang tinggi buat kelab bolasepak JDT. terima kasih.