TMJ ucap takziah. ‘Kami Sentiasa Bersamamu, Syafiq’

Tunku Mahkota Johor, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibrahim mengucapkan salam takziah kepada pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Tol Jawi awal pagi tadi.

Tunku Ismail yang juga pemilik JDT memuat naik ucapan berkenaan di akaun Facebook rasmi baginda yang memaparkan gambar jersi Syafiq bernombor 28 diiringi kata ‘Kami Sentiasa Bersamamu, Syafiq’.

Tunku Ismail turut merakamkan salam takziah kepada pemain berkenaan.

“Saya ingin mengucapkan salam takziah kepada Syafiq Ahmad atas pemergian ahli keluarga beliau. Kami sentiasa bersama anda, Syafiq. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

“Saya juga menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar-gambar atau video berkaitan bagi menjaga sensitiviti dan perasaan Syafiq sekeluarga,” titah baginda.

Muhammad Syafiq Ahmad, 25, dilaporkan terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan bayi lelakinya yang berusia 22 hari.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat, turut maut dalam kemalangan itu ialah wanita warga tempatan Zainab Wahab, 45, dan warga Indonesia Titik Sukamti, 30-an.

Sementara itu, isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25, dilaporkan cedera parah, manakala Muhammad Syafiq dan anak sulungnya dilaporkan mengalami kecederaan ringan.