Tottenham lantik Jose Mourinho selepas pecat Pochettino

Selepas lima tahun mengendalikan Kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspurs telah mengumumkan pemecatan pengurusnya iaitu Mauricio Pochettino dan sejurus selepas itu mengumumkan pelantikan bekas Pengurus Manchester United, Jose Mourinho.

Pemecatan itu jelas memberi isyarat dengan prestasi Tottenham musim ini yang bermula dengan sangat teruk dan mengecewakan sehingga menghuni tangga ke-14 dalam carta liga.

Pochettino mula dilantik pada May 2014 dan kejayaan terbesarnya adalah membawa kelab itu mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada musim lepas di mana mereka tewas kepada Liverpool di Madrid.

Pembantu jurulatih, Jesus Perez dan jurulatih lain seperti Miguel d’Agostino dan Antoni Jimenez turut meninggalkan kelab itu.

Pochettino telah membimbing Tottenham layak ke UCL dalam musim pertamanya dan meletakkan pasukan itu menjadi pencabar kejuaraan EPL dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Sekalipun menamatkan musim lepas dengan rekod menjadi Naib Juara UEFA Champions League dan berada di kedudukan keempat EPL, Tottenham dilihat masih terumbang ambing dalam musim ini.

Mereka mencatat prestasi yang buruk dalam EPL, disingkirkan oleh Colchester dalam saingan Piala Carabao serta dibelasah 7-2 kepada Bayern Munich dalam kempen UCL di stadium baharu mereka.

Sejurus perletakkan jawatan itu, Nama Jose Mourinho diumum sebagai Ketua Jurulatih dengan perjanjian kontrak sehingga musim 2023.

Mourinho akan mengharungi perlawanan pertamanya apabila berkunjung ke Stadium London pada Sabtu menentang, West Ham United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kekuatan Jose Mourinho tidak disangkal apabila berjaya memenangi beberapa kejuaraan meskipun ketika bersama Manchester United yang telah ditinggalkannya pada Disember tahun lalu.