Tujuh pasukan berdepan masalah kewangan?

Malaysian Football League (MFL) mengesahkan tempoh kesemua tujuh pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji supaya menghantar maklumat tambahan mengenai status kewangan pasukan telah tamat pada hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam memberitahu MFL dalam proses mengkaji kesahihan dokumen-dokumen sebelum menilai status kewangan pasukan-pasukan tersebut.

“Sekarang kita tengah menganalisa sama ada dokumen yang dikemukakan itu ada fakta dan kesahihannya daripada segi pengisytiharan. Kita perlu lihat semua perkara itu, kita akan lanjutkan kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL dan kita berharap kita akan mendapat keputusan daripada Ahli Lembaga Pengarah esok atau paling lewat pada pagi Rabu.

“Jadi kenapa MFL harus buat betul-betul dan menganalisa semua fakta kerana misalnya saya mahu bagi sedikit gambaran jika satu pasukan memberikan maklumat bahawa mereka akan mendapat penajaan daripada satu syarikat, pihak MFL akan mengambil langkah untuk membuat semakan syarikat untuk melihat adakah syarikat itu mampu untuk memberi jaminan penajaan tersebut.

“Apa yang kita mahu apabila keputusan-keputusan itu dibuat ia dibuat berdasarkan fakta. Kita perlu mengambil serius tentang apa-apa hukuman yang melibatkan kes tunggakan gaji. Kita juga kena kaji apa yang akan terjadi kepada kontrak-kontrak yang wujud untuk pemain-pemain ini.

“Apakah yang akan terjadi kepada penyokong-penyokong yang telah melabur wang dan masa mereka kepada pasukan-pasukan ini? Apakah yang akan terjadi kepada penaja-penaja yang telah memberikan wang kepada pasukan ini dan jika mereka tidak dapat terus bersaing mungkin akan melanggar kontrak-kontrak yang telah ditandatangani.

“Kita perlu faham jika satu pasukan itu tidak cukup kewangan untuk meneruskan (saingan Liga Malaysia) banyak aspek pengurusan liga kena ambil kira. Apapun kita telah memberikan peluang secukupnya kepada semua pihak terbabit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di ibu pejabat MFL selepas majlis undian pusingan pertama Shopee Piala FA 2019 di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Kevin tidak menolak kemungkinan pasukan-pasukan yang masih gagal menyelesaikan masalah kewangan boleh disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia jika ia mendapat persetujuan daripada kesemua Ahli Lembaga Pengarah MFL

“Secara amnya, keputusan untuk menyingkirkan sesuatu pasukan boleh diambil daripada Ahli Lembaga Pengarah. Keputusan itu boleh dan telah dilakukan pada tahun lepas membabitkan kes Kuantan FA.

“Kita sedar bahawa ia adalah satu hukuman yang juga boleh dikenakan pada tahun ini juga jika ia perlu dilaksanakan.
”Pemilihan Perlis untuk beraksi di Liga Premier oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL bukan satu kesilapan kerana ia adalah satu keputusan yang baik di mana Perlis ketika itu memiliki perancangan yang rapi.

”Tapi apakan daya kalau kita teliti sebaik mana sekali pun perkara ini kadang-kadang boleh berubah dan kita sebenarnya mengharapkan keputusan yang terbaik untuk semua pihak,”katanya.