Tunku Ismail akan terus martabatkan bola sepak negara – Joehari

Hasil carian imej untuk Tunku ismail akan terus memartabat

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Joehari Ayub, percaya Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, akan terus memartabatkan bola sepak negara walaupun telah meletak jawatan sebagai presiden persatuan berkenaan, baru-baru ini.

Katanya, keputusan mengejut yang dilakukan Tunku Ismail itu lebih banyak positifnya berbanding negatif. “Pada pendapat saya, ia satu langkah positif dilakukan Tunku Ismail (meletak jawatan) kerana kita perlu melihat skop yang lebih besar terutama dalam memartabatkan liga bola sepak di negara kita.

“Baginda kini boleh fokus sepenuhnya dalam memastikan Liga Malaysia lebih berkualiti kerana kita semua tahu jika kita memiliki liga yang berkualiti tinggi, kita mampu membentuk pasukan kebangsaan yang baik,” katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Walaupun tidak lagi memegang jawatan dalam FAM, Tunku Ismail kekal dilantik sebagai Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas sebulat suara dipilih dalam kongres kedua badan pengelola Liga Malaysia itu. Joehari berkata, antara langkah awal yang dilakukan TMJ termasuk mengadakan pertemuan dengan presiden Liga Sepanyol (LaLiga).

“Saya sangat positif, saya bukan mempertahankan baginda tetapi adalah tidak adil jika saya tidak berkata apa-apa langsung apabila saya berasakan sesuatu yang baik bakal berlaku dalam arena bola sepak negara, khususnya Liga Malaysia yang akan melalui penjenamaan semula dan akan dikenali sebagai MFL.

“Kita akan melaksanakan apa yang dilakukan di Sepanyol, England, Korea dan juga Jepun…kita menuju ke arah itu terutama selepas pihak LaLiga bersetuju untuk bekerjasama serta membantu kita,” katanya.

Sementara itu, Joehari berterima kasih kepada Tunku Ismail kerana telah banyak berkorban untuk bola sepak negara ini sepanjang baginda memegang jawatan sebagai presiden FAM.  Beliau juga bersetuju dengan cadangan Tunku Ismail MJ agar Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, dipilih sebagai presiden baharu badan induk itu. Katanya, dengan pengalaman Hamidin yang telah lama berjuang dalam FAM, beliau adalah calon paling layak menggantikan Tunku Ismail sebagai presiden.

Sumber: stadiumastro.com

Leave a Reply

Your email address will not be published.