UCL: Tammy Abraham bakal gegar eropah?

Pengurus Chelsea, Frank Lampard berkata dia tidak terdesak menurunkan pemain muda Tammy Abraham susulan hukuman larangan perpindahan pemain dikenakan ke atas Chelsea.

Abraham yang dijangka tampil kali pertama dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi esok kini mendahului senarai penjaring terbanyak Liga Perdana.

Abraham, 21, meledak hatrik ketika membelasah Wolves Sabtu lalu untuk jaringan ketujuhnya musim ini sekali gus amaran buat Valencia yang bakal berkunjung ke Stamford Bridge.

Image
Frank Lampard. Foto: Sumber

Dengan Chelsea dilarang membeli pemain baharu, Lampard bergantung kepada Abraham dan dua lagi pemain muda, Mason Mount dan Fikayo Tomori.

Bagaimanapun, pengendali Blues itu berkata, dia selalu yakin ia masa yang tepat untuk Abraham yang sebelum ini dipinjamkan ke Bristol City, Swansea dan Aston Villa diberi peluang beraksi bersama Chelsea.

“Saya tak pernah mengharapkan lebih daripadanya. Saya hanya percaya dan yakin kemampuannya,” kata Lampard kepada wartawan awal pagi tadi.

“Saya tahu hukuman ke atas kami memberi peluang pemain muda mempamerkan kebolehan tetapi saya fikir ini adalah masa yang tepat buat Tammy memanfaatkan peluang sebaik mungkin bersama kualiti dimiliknya.

“Saya sangat gembira dengan jaringannya dan saya rasa banyak lagi selepas ini.”

Abraham dijangka membarisi kesebelasan utama menentang Valencia dalam aksi pertama Liga Juara-Juara buat Lampard sejak dilantik pengurus Chelsea.