World Cup 2018: Fernando Hierro, Sepanyol ‘berpisah’

MADRID: Jurulatih sementara Sepanyol, Fernando Hierro mengakhiri khidmatnya bersama Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) berikutan penyingkiran skuad kendaliannya di Piala Dunia, minggu lalu, kata badan induk berkenaan, hari ini.

“Selepas beberapa kilometer kami membuat perjalanan bersama, RFEF dan Fernando Hierro menamatkan hubungan mereka selepas Sepanyol mengakhiri penyertaan mereka di Piala Dunia,” kata persekutuan itu dalam satu kenyataan di laman web www.sefutbol.com.

“Jurulatih terakhir Sepanyol ini enggan memegang kembali jawatannya sebagai Pengarah Sukan FREF dalam usaha untuk mencari haluan baharu dan juga cabaran profesional yang baharu.”

Hierro dinamakan Pengarah Sukan buat kali kedua pada 2017 tetapi mengambil alih tugas sebagai jurulatih kebangsaan sehari sebelum Piala Dunia Russia membuka tirainya apabila Julen Lopetegui dipecat.

Lopetegui disingkirkan daripada skuad kebangsaan selepas bersetuju untuk menyertai kelab Real Madrid.

Di bawah bekas pertahanan Real ini, yang sebelum ini hanya mempunyai satu pengalaman sebagai jurulatih di kelab Real Oviedo, Sepanyol menang satu daripada empat perlawanan di Russia.

Selepas menang 1-0 ke atas Iran, juara 2010 itu seri 3-3 dengan Portugal dan diikat 2-2 oleh Maghribi.

Sekali pun menamatkan saingan peringkat Kumpulan B selaku juara, Sepanyol ditunjukkan jalan keluar berikutan kekalahan mengejut kepada Russia di peringkat 16 terakhir menerusi penentuan penalti.

“Persekutuan ini mengucapkan terima kasih kepada Fernando Hierro atas komitmen dan juga rasa tanggungjawabnya untuk mengendalikan skuad kebangsaan dalam suasana yang sukar dan juga atas peranan lainnya bersama organisasi, yang sentiasa menjadi kediamannya,” kata kenyataan itu lagi. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published.