World Cup 2018: Perancis menang sebab VAR, hawk-eye

Antoine Griezman mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama menjaringkan melalui teknologi video bantuan pengadil (VAR) untuk saingan Piala Dunia dan sepakan penaltinya itu membantu Perancis mencatat kemenangan 2-1 ke atas Australia dalam saingan Kumpulan C di sini, sebentar tadi.

Griezman yang dijangka bakal memberi impak pada saingan kali ini selepas muncul penjaring terbanyak Euro 2016 dengan enam jaringan, nyata menghadirkan kekecewaan buat penyokong Socceroos apabila dikasari Josh Rishdon dalam petak penalti pada minit ke-54.

Bagaimanapun, pengadil perlawanan Andres Cunha dari Uruguay, pada mulanya meneruskan perlawanan sebelum menggunakan bantuan VAR.

Selepas melihat semula ulang tayang video di tepi padang, Cunha menarik semula keputusannya di atas padang sebelum itu apabila menghadiahkan sepakan penalti kepada Perancis.

Bintang Atletico Madrid itu tidak mempersia-siakankan peluang terhidang apabila menyempurnakan sepakan penalti buat mengecewakan penjaga gol, Matthew Ryan.

Perancis yang pernah muncul juara pada 1998 ternyata beraksi pada kelas tersendiri apabila bertubi-tubi melakukan serangan ke kubu Australia sejak awal permainan termasuk menuerusi, Kylian Mbappe pada minit kedua namun rembatan dari sudut sukar itu berjaya diselamatkan Ryan.

Ryan sekali lagi membuktikan dia berhak diturunkan selaku penjaga gol utama apabila menyelamatkan percubaan dari luar petak penalti yang dilakukan oleh Paul Pogba tiga minit kemudian.

Nasib yang sama turut menimpa Griezmann apabila percubaannya pada minit keenam dan kelapan kedua-duanya berjaya diselamatkan Ryan.

Australia yang dibimbing Bert van Marwijk cuba untuk melakukan serangan balas namun peluang diperoleh sayap kiri, Mathew Leckie pada minit ke-12 dan ke-17 di dalam petak penalti dipersiakan apabila tandukan pemain Hertha Berlin itu tersasar keluar.

Selepas Griezman menyumbat gol sulung Perancis hasil bantuan VAR, Australia tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan dan ia juga terhasil melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh Mile Jedinak selepas Samuel Umtiti menampan bola dengan tangan pada minit ke-61.

Pogba menebus kekecewaan pada separuh masa pertama apabila meledak gol kemenangan Les Blues pada minit ke-80 apabila rembatan separa voli berjaya memerangkap Ryan sebaik menerima hantaran dari pemain gantian, Olivier Giroud.

Gol berkenaan juga menyaksikan pengadil perlawanan, Cunha sekali lagi menggunakan bantuan teknologi kali ini menerusi hawk-eye yang menentukan sama ada bola melepasi garisan gol atau tidak.

– AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published.