ACL: JDT akan beraksi di Thailand; kempen bermula Jun/Julai

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini mengumumkan Thailand menjadi tuan rumah untuk kumpulan F, G, J bagi semua aksi di peringkat kumpulan saingan AFC Champions League 2021 (ACL) yang akan bermula Jun hingga Julai.

Wakil tunggal negara, Johor Darul Tazim (JDT) yang berada dalam kumpulan G akan bersama wakil tuan rumah, Ratchaburi Mitr Phol, kelab dari Jepun, Nagoya Grampus dan kelab dari Korea Selatan, Pohang Steelers.

Menurut laporan dari media Thailand, Ratchaburi dan Pohang Steelers dapat slot automatik terus ke peringkat kumpulan bagi menggantikan tempat kelab China, Jiangsu Suning yang menarik diri.

Ia akan menjadi musim kedua dijalankan dalam format karnival setelah mereka berjaya menganjurkan saingan ACL di Doha, Qatar yang membabitkan 26 pasukan pada musim lepas.

Format karnival menjadi pilihan AFC untuk menganjurkan pertandingan berprestij peringkat kelab itu bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19 yang semakin meningkat di beberapa negara.

EwLaEMrXEAMOWeW

“Bagi mewakili keluarga bola sepak Asia, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua anggota persatuan diatas minat mereka menganjurkan perlawanan di peringkat kelab dan komitmen mereka dalam memastikan keselamatan pemain, pasukan dan pegawai menjadi keutamaan.

“AFC bersyukur dengan sokongan yang diberikan oleh Ahli Jawatankuasa Pertandingan dan juga rakan komersial dan kami akan terus menjaga kepentingan semua pihak yang berkepentingan kerana kami sedang berusaha untuk memastikan musim bola sepak kelab 2021 selamat dan berjaya,” kata Setiausaha Agung AFC, Dato’ Windsor John.

Thailand dipilih menjadi tuan rumah kerana memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan oleh AFC iaitu keperluan logistik seperti penggunaan video bantuan pengadil (VAR), jarak perjalanan minimum kelab, kemudahan penerbangan dan fasiliti perubatan untuk ujian pengesanan COVID-19 kepada semua pemain dan pegawai yang kosnya ditanggung oleh AFC.

Saingan ACL musim ini yang menampilkan penyertaan 40 pasukan dari Zon Barat dan Zon Timur buat kali pertama dalam sejarah. Zon Barat dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 30 April manakala Zon Timur pula pada 21 April hingga 7 Mei.

Selain Thailand, Arab Saudi, UAE dan India turut menjadi rumah untuk semua perlawanan dari zon barat.