AFF Cup: Safawi tekad padamkan memori pahit di Hanoi

Harimau Malaya perlu berwaspada dengan serangan balas Vietnam andai berhasrat membawa bekalan selesa ke Hanoi, Sabtu depan. 

Menjelang pertemuan pertama separuh akhir Piala AFF 2018 pada Selasa nanti, Safawi Rasid menegaskan bahawa dia dan rakan-rakan telah belajar sesuatu ekoran tumbang 0-2 kepada lawan yang sama di peringkat kumpulan. 

“Kami pernah bertemu mereka di peringkat kumpulan, sedikit sebanyak kami tahu corak permainan mereka. 

“Kami sudah pun memulakan persiapan untuk berdepan mereka dalam pertemuan pertama separuh akhir nanti. 

“Kami akan cuba sekat perancangan mereka dan menggunakan kelebihan yang kami ada berlandaskan taktikal jurulatih,” kata tonggak negara itu. 

Dalam masa sama, Vietnam juga mempertaruhkan ramai pemain muda yang muncul finalis dalam dalam Kejohanan AFC B-23 di China yang lalu. 

“Mereka sangat bagus daripada segi serangan balas selain beberapa pemain berbahaya mereka seperti Nguyen Van Quyet, Nguyen Anh Duc dan Nguyen Quang Hai yang perlu diawasi sekiranya kami ingin bergelar juara,” katanya. 

Sungguhpun mempamerkan persembahan memukau dalam kempen Sukan Asia 2018 di Indonesia, lebih-lebih lagi dengan meledak dua gol ketika mengejutkan pilihan juara, Korea Selatan, 2-0 di peringkat kumpulan, namun masih buntu jaringan dalam penyertaan sulungnya dalam Piala AFF. 

“Saya tidak akan berputus asa dan akan terus mencuba. 

“Saya cuma perlu bersabar menantikan rezeki saya.

“Walaupun saya memenangi tiga gelaran dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 — Pemain Paling bernilai, Pemain Tengah Terbaik dan Pemain Muda Harapan — tetapi itu masih tidak mencukupi dan saya bertekad untuk melengkapkan gemilang tahun ini dengan mendakap Piala AFF,” tambahnya. 

Sementara itu, Safawi turut menghargai sokongan yang diraih skuad kebangsaan sepanjang kempen kali ini, lebih-lebih semasa mengharungi aksi getir di Stadium Rajamangala sambil mengakui peranan besar yang dimainkan ‘ekor Harimau Malaya’ itu.

“Saya ingin amat terima kasih kepada penyokong Malaysia yang hadir di Bangkok tempoh hari. Kami amat gembira dengan kejayaan di Thailand kerana sudah lama tidak mengecapi kemenangan di sana. 

“Kami berjaya melakar keputusan yang baik untuk melangkah ke final. 

“Peminat tidak jemu-jemu memberi sokongan padu di Bangkok serta peminat di tanah air yang tidak putus-putus mendoakan kejayaan kami,” katanya lagi.