Aksi JDT All-Stars Friendly sasar kutipan RM500,000

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ mensasarkan sejumlah RM500,000 hasil jualan tiket pada perlawanan amal persahabatan JDT Tunku Mahkota Johor (TMJ) menentang JDT Rest of the World di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 30 Jun ini.

Presiden PBNJ Datuk Ismail Karim berkata, sasaran itu tampak realistik memandangkan peminat bola sepak, bukan sahaja di Johor malah ada di luar Johor akan dapat melihat aksi legenda bola sepak yang pernah menggegar bola sepak dunia dengan lebih dekat.

Ismail yang juga ahli lembaga pengarah Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor mengumumkan tiket akan mula dijual esok untuk peminat bola sepak yang ingin melihat kelibat bekas bintang bola sepak dunia antaranya Ronaldo, Claudio Caniggia, Robert Pires, Edgar Davids, Rivaldo, Marco Materazzi, Gianluca Zambrotta, Bebeto, Esteban Cambiasso, Claude Makalele dan Florent Malouda.

“Harga tiket serendah RM20 akan mula dijual esok dan tiket berkenaan untuk tempat duduk di Zon A dan Zon B. Manakala tiket berharga RM50 untuk tempat duduk berbumbung dan RM30 untuk tempat duduk Zon C berdepan tempat duduk berbumbung,” kata Ismail.

“Semua hasil jualan tiket akan didermakan kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Women’s Aid Organisation. Malah 50 pesakit kanser yang terpilih akan hadir menyaksikan perlawanan itu.

“Tarkih perlawanan pada 30 Jun nanti sempena hari keputeraan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang akan turut beraksi dalam perlawanan itu. Semua perancangan bagi mengadakan perlawanan amal itu adalah hasil cetusan idea Tunku Ismail.” 

Sementara itu Pengarah Teknikal JDT Alistair Edward berkata, pemain Akademi JDT berusia 11 hingga 19 tahun turut berkesempatan ‘berguru’ dengan legenda bola sepak dunia ini pada sesi klinik kejurulatihan yang akan berlangsung di Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam pada 1 Julai nanti.

“Selepas perlawanan pada 30 Jun ini, pada keesokan harinya kita juga menjemput pemain-pemain ternama ini untuk berkongsi pengalaman mereka dalam klinik kejurulatihan membabitkan pemain akademi kita dan juga 10 kanak-kanak yang menghidap kanser.

“Pada hari sama juga, peminat boleh berjumpa dengan legenda bola sepak ini dalam sesi bertemu peminat (meet and greet) di JDT Kafe. Kita juga sedang berbincang untuk membuat lelongan jersi pemain-pemain ini untuk mendapatkan dana bagi tujuan amal,” kata Edwards.

Foto: SETIAUSAHA Kehormat Persatuan Bolasepak Negeri Johor, Kapten Mohd Anizam Jamian (kanan) bersama Presiden PBNJ Datuk Ismail Karim (tengah) dan Pengarah Teknikal JDT Alistair Edward pada sidang media di Larkin. – Foto Mohd Azren Jamaludin