Asian Games 2018: Undian semula dalam tempoh terdekat

SETIAUSAHA Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John Paul. – Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John Paul mengesahkan undian semula acara bola sepak Sukan Asia Indonesia akan dilakukan dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, sehingga kini Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC) belum memaklumkan kepada pihaknya sama ada undian itu akan membabitkan semua pasukan atau hanya dua tercicir pada undian awal iaitu Emiriah Arab Bersatu dan Palestin.

“Setahu saya tidak ada undian hari ini. Kita belum terima surat rasmi daripada dari OCA dan Indonesia. Mungkin undian semula itu pada awal minggu depan.

“Apa yang dimaklumkan kepada kita, undian semula itu pasti akan dibuat tapi sama ada hanya membabitkan dua pasukan saja atau semua pasukan itu yang kita masih menunggu keputusannya,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP hari ini.

Keputusan untuk mengadakan undian semula itu mengejutkan ramai pihak termasuk jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim Swee memandangkan ia dilihat boleh menjejaskan persiapan pasukan menjelang saingan bermula pada 14 Ogos ini.

Undian bola sepak Sukan Asia dilakukan di Jakarta pada 5 Julai lalu, membabitkan 24 pasukan dalam enam kumpulan dengan menyaksikan Malaysia bakal bertemu juara bertahan, Korea Selatan, Kyrgyzstan dan Bahrain bagi Kumpulan E.

Bagaimanapun difahamkan, undian semula itu dilakukan susulan bantahan daripada UAE yang tidak berpuas hati apabila pasukan mereka tercicir dalam undian awal itu bersama dengan Palestin akibat masalah teknikal.

Malah India yang sebelum ini tidak mahu menghantar skuad bola sepak mereka dilaporkan mahu membuat ‘pusingan U’ kerana mahu mengambil bahagian semula.

Menurut Windsor, AFC tidak boleh campur tangan dalam isu itu kerana semua keputusan tertakluk kepada OCA dan INASGOC.

“Kita cuma bantu saja. Keputusan dibuat oleh OCA dan Indonesia. Jadi kita tak tahu sebab sebenar undian semula ini dilakukan,” katanya.