Barcelona adakan perlawanan persahabatan menentang JDT?

Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim memberi bayangan kemungkinan akan mengaturkan perlawanan persahabatan diantara juara Liga Super itu menentang kelab gergasi Sepanyol, Barcelona dalam masa terdekat.

Menerusi paparan di laman instagram miliknya, baginda berkongsi perbualan melalui aplikasi Whatsapp dengan pemain pertahanan Barcelona dan Sepanyol, Gerard Pique yang menyatakan kesediaan pasukannya untuk menentang JDT di Stadium Larkin.

Menurut perbualan tersebut, Pique menyatakan perancangan pasukannya untuk bertolak ke Johor menjalani latihan beberapa hari selepas menentang kelab Jepun, Vissel Kobe pada 27 Julai ini. Jika ia menjadi kenyataan, juara La Liga itu akan dijadualkan menentang JDT pada 30 Julai ini.

“Hey bro, perancangnya adalah bermain di Jepun pada 27 Julai ini, kemudian terbang ke Johor untuk menjalani latihan beberapa hari di sana dan bermain dalam satu perlawanan pada 30 Julai,” kata Pique.

“Menarik.. Maklumkan kepada saya dan berikan saya maklumat lanjut wahai kawan. Jaga diri,” balas Tunku Ismail.

Sebelum ini, bintang terkemuka dunia itu pernah dibawa melawat Pusat Latihan Padang Seri Gelam milik JDT pada 12hb Julai 2018. Beliau yang pernah menjuarai Piala Dunia 2010 bersama Sepanyol meluahkan rasa kagum dengan prasarana dan fasiliti bertaraf dunia yang dimiliki oleh JDT.

Menurut kenyataan daripada laman facebook Johor Southern Tigers, beliau turut menyatakan JDT adalah tempat yang betul untuk para pemain berkembang dalam karier bola sepak mereka.

Kali terakhir Barcelona berkunjung ke Malaysia ialah pada tahun 2013 untuk menentang skuad kebangsaan. Barcelona menang perlawanan tersebut dengan jaringan 3-1.