Belajar dan terus belajar. Rendahkan diri untuk perubahan

Teringat kata-kata DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dalam satu temubual di stesen media tempatan yang mengingatkan kepada kita iaitu ‘belajar dan terus belajar’.

Ianya jelas bukan sahaja ditujukan kepada pasukan di Malaysia malah untuk team JDT sendiri yang mana akan terus belajar dari mereka yang hebat dalam merealisasikan impian dan perancangan masa depan Kelab.

Belajar dari bawah, dari tidak tahu apa-apa kepada yang memiliki segalanya. Bermula dengan usahasama dan kerjasama dengan Borussia Dortmund dan kemudian dengan Valencia CF, Manchester City sehingga dengan kolaborasi dengan Juara Liga Itali, Juventus.

Dari hanya memiliki padang yang ‘kuno’ kita belajar untuk perbaiki dan hamparkan dengan padang berkualiti. Dari kita menumpang sewa latihan di padang awam, kini memilik pusat latihan sendiri, Dari menyewa stadium untuk setiap perlawanan, kini telah memiliki sendiri dan prasarana sendiri. Dari hanya memiliki pemain yang ‘biasa’ kini sudah memilik pemain yang ‘luar biasa’. Apa yang penting? Belajar dan terus belajar.

Tidak mudah untuk menempa sebuah kejayaan tanpa dengan ilmu dan pengetahuan. Bukan sekadar kita bersiap untuk dipandang ‘ada’ dari kualiti yang diharapkan, sebaliknya perkasakan setiap yang kita letakkan. Sahut cabaran dan sedia hadapi kritikan untuk sebuah perubahan positif.

JDT kini telah pun memiliki 6 piala liga disamping telah memenangi Piala AFC, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih. Kesemuanya 13 piala dalam masa 6tahun.

JDT pernah gagal? Ya. JDT pernah gagal. Tewas dalam perebutan juara liga musim 2013, tewas dalam penentuan juara Piala FA dan pernah tersingkir di separuh akhir Piala AFC. Namun JDT tetap berusaha dan bangkit untuk belajar dan terus belajar.

Hari ini tercatat dalam sejarah bolasepak Malaysia dan Malaysia Book of Record bahawa JDT adalah satu-satunya pasukan yang menjuarai liga 6 musim berturut-turut (2014-2019), Pasukan pertama yang memenangi Piala AFC, dan Pasukan pertama yang beraksi di pentas AFC Champions League.

Kepada kelab-kelab dan pasukan diluar sana yang telah berusaha membangunkan pasukan, fasiliti dan pusat latihan, usahlah terbuai, terlena dengan pujian, sebaliknya terus berusaha memperkasakan pasukan, berikan imej yang baik dan kekal konsisten dalam pembaharuan. Teruskan usaha dan ingat belajarlah dan terus belajar.