Bibi Ramjani lepas jawatan presiden KAFA

Bibi Ramjani Ilias Khas membuat kejutan apabila mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), hari ini.

Beliau yang menjawat jawatan berkenaan pada September 2017 mengumumkan perkara itu menerusi akaun Facebook miliknya.

“Saya Bibi Ramjani Ilias Khas selaku Presiden KAFA dengan ini melepaskan jawatan saya. Semoga KAFA maju jaya di bawah pengurusan baru.

“Terima kasih kepada semua penyokong yang tidak pernah putus menyokong Kelantan FA. Mohon maaf daripada saya kepada semua sepanjang memimpin KAFA,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) mendesak Bibi Ramjani melepaskan jawatan selepas KAFA dilihat berdepan pelbagai masalah terutama dari aspek kewangan.