Bundesliga: Lewandowski selamatkan maruah Bayern

Jaringan berganda Robert Lewandowski ternyata belum cukup untuk menyelamatkan Bayern Munich daripada permulaan hambar musim baharu Bundesliga ketika juara bertahan Jerman itu diikat 2-2 di laman sendiri oleh Hertha Berlin awal pagi tadi.

Lewandowski menegaskan pasukan pelawat, Hertha ‘bernasib baik’ selepas dia berjaya menyelamatkan satu mata buat Bayern menerusi penalti separuh masa kedua.

Hertha yang menduduki tangga ke-11 musim lalu, membatalkan jaringan pembukaan Lewandowksi menerusi dua jaringan luar biasa untuk mendahului pada separuh masa pertama dan memberi tamparan awal terhadap misi Bayern mempertahankan gelaran.

“Kami tidak bermain dengan buruk dan mereka jarang mendapat peluang. Mereka bernasib baik,” kata Lewandowski.

“Ia bukan salah mula untuk musim ini. Kami adalah pasukan yang lebih baik dan sepatutnya menang,” kata jurulatih Niko Kovac.

Biarpun menjulang dua gelaran domestik musim lalu, Bayern memulakan musim ini dengan tekanan selepas tewas 0-2 kepada Borussia Dortmund dalam aksi Piala Super Jerman dua minggu lalu.