Datang bos baharu, habis semua. Bola sepak jadi mangsa

Hubungan antara pengelola Liga Malaysia, Malaysia Football League (MFL) dan syarikat telekomunikasi terkemuka Telekom Malaysia (TM) nampaknya bertambah tegang.

Pada Jumaat lalu MFL menerusi satu sidang media menyatakan kontrak penajaan dengan TM terpaksa dibatalkan kerana mereka gagal menjelaskan bayaran hak penyiaran, namun TM telahpun tampil menafikan dakwaan itu, dengan menjelaskan tiada perjanjian ditandatangani di antara kedua-dua pihak.

“Kedua-dua pihak sebaliknya gagal mencapai kata sepakat berhubung perkara asas mengenai aspek komersial bagi melanjutkan kerjasama berkenaan.

“Meskipun perbincangan mengenainya sudah beberapa kali dilanjutkan, namun masih tiada kesepakatan yang dicapai. Sehubungan itu, TM memaklumkan kepada MFL secara bertulis bahawa rundingan itu telah berakhir pada 1 November 2018,” jelas TM dalam satu kenyataan pada Isnin.

MFL tamatkan kontrak Penajaan bersama TM akibat kegagalan pembayaran penajaan tahun semasa berjumlah Rm60juta.

Begitupun ia tidak berakhir di situ apabila Pengerusi MFL, Tunku Ismail dalam satu kenyataan balas di twitter menulis :

“Jika TM berasa MFL menipu, mudah sahaja, bawa pengerusi (MFL) ke mahkamah. Ini yang berlaku apabila anda mencampur adukkan politik dengan sukan.

“Dahulu tiada masalah, tandatangan (kontrak) untuk lapan tahun. Datang bos baharu, habis semua. Bola sepak jadi mangsa,” tulis Tunku Mahkota Johor itu.

Sebagai rekod, kedua-dua pihak dilaporkan telah menandatangani kontrak lapan tahun bermula 2018 hingga 2025 dengan nilai tajaan keseluruhan berjumlah RM480 juta pada 29 Januari tahun lalu.

Dengan berakhirnya kerjasama tersebut juga menyaksikan MFL kini sedang bekerja keras mencari penaja baru namun dalam masa sama mereka telah memberikan jaminan bahawa geran tahunan akan tetap diagihkan sepertimana telah dijanjikan.