Datuk Hamidin dipilih sebagai Presiden MFL

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin hari ini secara sebulat suara telah dipilih sebagai Presiden Malaysian Football League (MFL) menerusi undian Ahli Lembaga Pengarah dalam Mesyuarat Rakan Kongsi Liga 2019.

Pemilihan Datuk Haji Hamidin itu dibuat selepas pemegang taruh MFL yang terdiri daripada 23 rakan kongsi bersetuju untuk meminda Perlembagaan MFL di mana status jawatan pengerusi ditukar kepada presiden dengan calon untuk menduduki kerusi tertinggi itu adalah di kalangan Ahli Lembaga Pengarah MFL serta tidak terikat dengan mana-mana pasukan atau kelab Liga Malaysia.

Perubahan itu sekali gus menyaksikan Datuk Haji Hamidin dipilih mengambil alih teraju MFL daripada pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim selaku Pengerusi MFL sebelum ini.

Menurut Datuk Haji Hamidin, beliau berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh semua pemegang taruh MFL selain menganggap ia satu tanggungjawab dan amanah cukup besar.

“Ini satu penghormatan besar diberikan oleh semua pemegang taruh MFL dan dalam masa yang sama cabaran berat untuk saya pikul. Saya akan berusaha untuk memegang amanah ini dengan baik namun saya mengharapkan sokongan padu semua pihak untuk bergerak sama melaksanakan gagasan yang sudah diasaskan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail.

“Saya sebenarnya berat untuk memikul jawatan ini tetapi atas kepercayaan yang diberikan daripada Rakan Kongsi Liga dan demi stabilkan keadaan untuk bola sepak negara, saya bersetuju dengan pemilihan ini,” katanya.

Tambah Datuk Haji Hamidin, beliau menagih sokongan semua pihak untuk mengimbangi tuntutan selaku Presiden FAM dan Presiden MFL.

Sementara itu, beberapa pemegang taruh menganggap, kehadiran Datuk Haji Hamidin untuk mengemudi MFL dianggap tepat kerana atas dasar beliau boleh bersikap neutral di mana tidak mewakili mana-mana pasukan bertanding dalam Liga Malaysia.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar percaya perubahan besar kepada pucuk pimpinan MFL akan meleraikan sebarang persepsi berhubung konflik kepentingan yang membelenggu badan pentadbir Liga Malaysia itu.

Malah selain itu, Tajul dan semua pemegang taruh yakin dengan keupayaan Datuk Haji Hamidin untuk meneruskan legasi Tunku Ismail yang sudah melakukan banyak perubahan positif kepada lanskap Liga Malaysia.

“Hari ini kita menyaksikan pindaan perlembagaan di mana jawatan Pengerusi MFL ditukar kepada Presiden MFL dalam Mesyuarat Rakan Kongsi Liga.

“Ini bukanlah satu perkara baharu dalam bola sepak dunia di mana pendekatan ini telah diguna pakai di pentas Eropah antara contohnya LaLiga,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Mohd Azizudin Mohd Shariff yakin pemilihan Datuk Haji Hamidin adalah satu langkah tepat untuk mengelakkan isu konflik kepentingan.

“Kini, pertukaran jawatan kepada Presiden MFL itu menyaksikan individu terbabit bukan sahaja memiliki hubungan terus dengan pasukan bertanding sebaliknya wakil pasukan sendiri tidak boleh dipilih sebagai Presiden MFL bagi mengelakkan isu konflik kepentingan,” katanya.

Manakala Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa menegaskan pemilihan Datuk Haji Hamidin telah mendapat sokongan daripada semua pemegang taruh.

“Jadi pemilihan Datuk Haji Hamidin sebagai Presiden MFL telah mendapat sokongan dan pencalonan rakan kongsi Liga Malaysia sendiri di mana pemegang taruh cukup yakin beliau mampu meneruskan tugas cemerlang Tunku Ismail dalam usaha mengangkat nilai liga tempatan kita,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Andrew W Majanggim mengakui Datuk Haji Hamidin adalah individu paling layak untuk menjadi Presiden MFL.

“Keupayaan dan kredibiliti Datuk Haji Hamidin tidak perlu dipersoalkan di mana semua ahli pemegang taruh sangat yakin beliau mampu melaksanakan tugas itu dengan baik,” ujarnya.

Datuk Haji Hamidin, 54 yang memulakan kerjayanya dalam pentadbiran dan pengurusan bola sepak selaku Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 1995, adalah presiden profesional pertama FAM yang juga presiden pertama bukan golongan ahli politik mahupun kerabat diraja sejak Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj menjadi presiden FAM pada 1951.

Selepas dilantik sebagai Setiausaha Agung FAS pada 1998, Datuk Haji Hamidin berkhidmat dalam pelbagai kapasiti di FAM, termasuk Naib Presiden, ahli jawatankuasa pertandingan, pengurus futsal dan pengurus pasukan bola sepak kebangsaan sebelum diangkat menjadi Setiausaha Agung FAM pada 2013.

Beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Agung FAM di bawah pentadbiran Al Sultan Abdullah yang memegang jawatan Presiden FAM pada 2014 hingga 2017.

Susulan peletakan jawatan Tunku Ismail selaku presiden FAM pada awal 2018, Hamidin dipilih sebagai pengganti pada Julai tahun yang sama.

Sementara itu pertukaran Ahli Lembaga Pengarah MFL menyaksikan Mohd Joehari Mohd Ayub yang juga merupakan Naib Presiden FAM dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah MFL menggantikan Datuk Haji Hamidin.