Dollah Salleh ‘dimaafkan’

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh boleh menarik nafas lega setelah Malaysian Football League (MFL) mengesahkan mereka tidak bercadang untuk memanjangkan tindakan jurulatih itu mengeluarkan perkataan kurang sopan selepas tamat perlawanan Liga Super menentang Melaka, kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, berkata Dollah Salleh ‘dimaafkan’ kerana tindakannya itu adalah secara spontan berikutan kecewa dengan keputusan seri 1-1 setelah Melaka berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Safiq Rahim pada minit akhir perlawanan.

Perlawanan di Stadium Hang Jebat itu menyaksikan pengadil, Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim menghadiahkan sepakan penalti kepada Melaka pada minit ke-88 selepas penjaga gol Pahang Helmi Eliza Elias mengasari Casagrande, dan beberapa minit sebelum itu dia melayangkan kad merah kepada pemain tengah Nor Azam Azih.

Related image
Dollah Salleh terlepas hukuman.

“Dollah mungkin kecewa kerana keputusan tidak seperti yang diharapkan dan insiden sepakan penalti itu berlaku sebelum perlawanan berakhir. Sekiranya kejadian itu berlaku lebih awal dalam permainan maka mungkin Dollah akan kurang beremosi pada akhir perlawanan.

“Kita perlu bersikap adil kepadanya di mana beliau tidak bercakap dalam sidang media rasmi tetapi tidak bernasib baik kerana percakapannya dirakam ketika kamera sedang merakam suasana selepas tamat perlawanan.

“Untuk kes ini MFL akan memberi peringatan kepada Dollah tentang statusnya sebagai tokoh bola sepak tempatan dan mengingatkannya bahawa perlawanan kini disiarkan secara langsung. Kami tidak akan meneruskan (menyerahkan laporan rasmi berhubung isu Dollah) kejadian itu kepada FAM untuk tindakan tatatertib,” katanya.

Sementara itu, Kevin berharap insiden ini akan memberikan peringatan bukan sahaja kepada Dollah Salleh tetapi semua jurulatih khususnya pasukan dari Liga Super memandangkan kesemua perlawanan kini disiarkan secara langsung di platform Iflix.

“Seperti saya katakan tadi, Dollah Salleh adalah seorang bekas pemain bola sepak dan jurulatih yang memiliki reputasi baik jadi saya harap bukan beliau saja malah jurulatih lain supaya lebih berhati-hati dalam apa saja tindakan di dalam dan selepas perlawanan kerana kita tahu bola sepak adalah permainan melibatkan emosi. Kita akan lebih tegas selepas ini apabila semua pihak khususnya jurulatih sudah diberikan peringatan dan sedar implikasi yang bakal diterima,” kata Kevin.