EPL: Lampard puas hati dengan satu mata buat Chelsea

Pengendali Chelsea, Frank Lampard terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dengan Leicester City dalam perlawanan pertamanya di laman sendiri awal pagi tadi apabila tandukan Wilfred Ndidi membatalkan jaringan awal Mason Mount.

Chelsea berada di depan apabila Mount, 20, salah seorang pemain muda yang diberikan peluang oleh Lampard, mencuri bola daripada Ndidi dan tidak memberi peluang buat penjaga gol lawan Kasper Schmeichel berbuat apa-apa menerusi jaringan pada minit ketujuh.

Jaringan itu menandakan dominasi awal skuad Blues yang berwajah baru dan menerima sokongan gemuruh penyokong yang teruja dengan kepulangan penjaring terbanyak sepanjang zaman Chelsea, Lampard sebagai seorang pengurus.

Sebelum perlawanan itu penyokong di Shed End membentangkan kain rentang yang tertulis ‘Selamat kembali, Super Frank’ dan Lampard memberitahu wartawan bahawa ia satu mimpi yang indah untuk kembali ke Stamford Bridge.

Namun fokusnya adalah bagaimana Chelsea gagal mengekalkan momentum awal ke atas Leicester dan membiarkan pelawat menguasai perlawanan, sesuatu yang yang mungkin berpunca daripada keletihan selepas berkunjung ke Istanbul di mana mereka tewas Piala Super kepada Liverpool selepas masa tambahan dan penalti.

“Itu yang mengecewakan saya, kami gagal mengekalkan dominasi pada awal permainan,” kata Lampard.

“Saya tidak menjangkakan tenaga 100 batu sejam dalam tempoh 90 minit tetapi saya harapkan adalah apabila anda berehat, anda boleh mengekalkan penguasaan bola dengan lebih baik. Itu yang penting bagi saya hari ini.

“Kami boleh lakukan lebih baik daripada apa yang dilakukan hari ini.” – HM

Ikuti Highlights penuh Chelsea 1-1 Leicester City