EPL: Liverpool teruk dibelasah Villa 7-2

Image

Liverpool dikalahkan dengan cara sangat tragis apabila juara bertahan dibelasah Aston Villa 7-2 di Villa Park awal pagi tadi. Kekalahan memalukan itu berlaku hanya beberapa minit selepas Man United kalah 1-6 di tangan Spurs.

Liverpool bermula dengan teruk apabila Adrian ‘memberikan’ bola kepada Ollie Watkins. Watkins dengan mudah menjaringkan gol pada minit ke-4.

Liverpool kemudian memiliki peluang keemasan menerusi Firmino. Namun rembatan leretnya diselamatkan Emi Martinez. Pada minit ke-22, Watkins kemudian menambah satu lagi gol dengan rembatan cantik mengatasi Gomez dan terus masuk.

Image

Mohamed Salah merapatkan jurang gol pada minit ke-33, menerusi satu penyudah deras. Tetapi Villa terus melenyek Liverpool dengan gol ketiga oleh McGinn. Satu rembatan yang terbias pada Virgil Van Dijk.

Sebelum rehat separuh masa pertama, Watkins melengkapkan hatrik yang akan diingati sampai bila bila. Watkins kali ini menanduk masuk bola hantaran lintang daripada Barkley.

Pada masa kecederaan, Robertson menguji Martinez dengan rembatan deras namun ditepis penjaga gol tersebut.

Image

Bersambung babak kedua, Liverpool melakukan pertukaran. Namun ianya tetap memburukkan lagi keadaan. Ketika Liverpool cuba bermain ultra offensive dengan 4-2-4, Barkley menghukum mereka dengan gol kelima.

Liverpool membalas sekali lagi dengan Mohamed Salah, lebih kepada gol saguhati.

Watkins memiliki peluang satu lawan satu dengan Adrian, namun diselamatkan penjaga gol tersebut. Jack Grealish memastikan juara bertahan diaibkan dengan teruk dengan dua lagi gol pada minit ke 66 dan ke-74.

Itupun Villa hampir menambah satu lagi gol. Di mana bola terkena palang.

Tamat perlawanan, Liverpool kalah pertama kalinya musim ini. Villa meneruskan permulaan cemerlang dengan 3 kemenangan daripada 3 perlawanan pembukaan. – VFC