EPL: Liverpool terus buktikan mereka sangat hebat

Kehebatan Liverpool tidak perlu disangkal lagi apabila terus mengukuhkan cengkaman dan kedudukan liga selepas menumbangkan pesaing terdekat Leicester dengan jaringan 4-0 meskipun beraksi di tempat lawan.

Liverpool yang kembali ke saingan domestik selepas menjuarai Piala Dunia Kelab 2019 minggu lalu tidak akan terus dibuai mimpi sebaliknya fokus untuk menjulang kejuaraan Premier League di akhir musim.

Liverpool peroleh gol pertama menerusi tandukan Roberto Firmino pada minit 31. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama. Walaupun Mo Salah dikeluarkan dan memasukkan Origi pada babak kedua, Liverpool tetap bersemangat untuk terus cemerlang.

James Milner yang masuk menggantikan Keita tidak melepaskan peluang untuk meledak gol menerusi sepakan penalti selepas bola terkena tangan. Minit 70 meletakkan Liverpool mendahului 2-0.

Berselang 4 minit, Roberto Firmino tenang menyambut hantaran lintang Alexander-Arnold untuk gol ketiga sebelum Alexander-Arnold sendiri menjaringkan gol selesa 4-0 pada minit 78.

Kemenangan ini menjadikan Liverpool menjadi pasukan tunggal dalam saingan PL yang masih belum tewas dalam 18 perlawanan (masih berbaki 1 perlawanan daripada yang lain) dengan memungut 52 mata.