Faktor utama JDT dijadikan lawan pilihan skuad Kebangsaan Nepal

Satu pengiktirafan buat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila menerima permohonan dari All Nepal Football Assocation (ANFA) untuk aksi perlawanan persahabatan bertemu skuad kebangsaan Nepal pada 26 Ogos ini. Perlawanan ini diadakan selang beberapa hari selepas perlawanan keempat JDT bagi saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia 2019.

Beberapa faktor dilihat mengapa JDT menjadi destinasi skuad kebangsaan Nepal bagi menguji keberkesanan taktikal mereka dalam membentuk persediaan sepenuhnya untuk kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 yang dijangka akan bermula sekitar bulan September 2019.

POPULARITI DAN REPUTASI JDT DI MATA BENUA ASIA

JDT semakin dikenali di Asia sebagai sebuah kelab kerdil yang semakin rancak malah agresif mencipta kejayaan. Nama JDT semakin menjadi perhatian juga sebutan pemerhati bola sepak Asia setelah membuat penampilan sulung yang menakjubkan dalam persaingan Liga Juara-juara AFC (ACL) musim ini.

Kerana faktor itu juga, pastinya ia menjadi medan magnet menarik rapat skuad kebangsaan Nepal untuk datang ke sini bagi eksperimentasi keberkesanan operasional, strategikal dan taktikal mereka.

FASILITI, PRASARANA DAN TEKNOLOGI TERKINI

Faktor ini juga menjadi penyebab utama mengapa JDT menjadi destinasi pilihan terbaik ANFA. Dengan kesempurnaan yang dimiliki oleh JDT, ANFA merasakan JDT boleh dijadikan sebagai lokasi ideal mempertingkatkan, memacu serta melonjakkan prestasi dan keyakinan keseluruhan barisan pemain mereka.

Segala fasiliti, prasarana dan teknologi terkini yang terdapat di pusat latihan rasmi JDT seperti di Pusat Latihan Padang Seri Gelam bakal memberi pengalaman baharu buat pemain-pemain mereka.

KUALITI PADANG DAN STADIUM YANG TERBAIK

Mereka telah mengetahui bahawa Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin mempunyai infra yang bertaraf dunia dan rumput yang sesuai untuk dijadikan lokasi pertembungan berkelas tinggi.

Lapangan rumput rata dan terbaik yang ada di stadium ini boleh dijadikan tempat untuk melihat kelancaran perlaksanaan strategi yang diterjemahkan oleh kesebelasan pemain mereka tanpa rasa gusar tentang risiko kecederaan yang serius.

Jika dilihat dari sudut pemikiran realistik, dengan jemputan perlawanan persahabatan ini membuktikan bahawa dunia sudah membuka mata dan memandang JDT sebagai sebuah kelab yang mempunyai keupayaan luar biasa dan mampu melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.

Mereka jelas amat kagum dan menghargai segala implementasi, aspirasi serta inspirasi yang telah dan bakal diadaptasi dalam organisasi kecil ini. Jikalau dunia luar menghargai kewujudan kita, maka sebagai penyokong dan tulang belakang kelab kebanggaan kita ini, kita juga patut sentiasa menghargai kewujudan kelab ini malah menyokong dengan keyakinan tanpa ada rasa sangsi dan curiga.

Sumber artikel: Media JST