Farizal masih mahu tabur bakti buat skuad negara

Farizal masih belum berkesempatan untuk menikmati kejayaan menjulang Piala Suzuki AFF sepanjang empat penampilannya setakat ini.

Ternyata dia masih belum puas untuk beraksi dan bertekad ingin terus menabur bakti dalam skuad kebangsaan selagi diberi kepercayaan untuk menggalas tugas sebagai penjaga gol negara.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu juga tidak menganggap faktor umur akan menjadi masalah walaupun bakal menginjak usia 33 tahun, tahun depan.

“Jika kepercayaan diberi kepada saya, sudah pasti saya akan terus menabur bakti kepada skuad negara. Saya tidak pernah menjulang Piala AFF walaupun dua kali melangkah ke final.

“Jika diberi peluang bagi tahun 2020, saya akan terus mengejar misi membawa pulang piala itu ke Malaysia,” katanya.

Dalam masa sama, Farizal menyifatkan saingan kali ini memberi kesan paling mendalam terhadap kariernya berbanding edisi terdahulu dengan sokongan padu daripada penyokong skuad Harimau Malaya begitu hebat.

“Saya melihat tahun ini sangat meriah dan berbeza berbanding sebelumnya. Mungkin ini salah satu kemeriahan sebenar AFF.”