Farkhan dinobatkan Juara antara Benua Persekutuan Tinju Antarabangsa

Peninju Profesional, Muhamad Farkhan Haron berjaya menumbangkan peninju Tanzania, Pascal Abel Ndomba untuk merangkul kejuaraan selaku Juara Antara Benua, Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF) semalam.

Dengan gelaran Muhamad Farkhan ‘The Southern Tigers’ Haron, Anak kelahiran Johor itu menewaskan lawan di pusingan ketujuh meskipun banyak bertahan di pusingan sebelumnya.

Dua tumbukan tepat ke ulu hati dan rusuk yang dilakukan Farkhan ke atas juara Afrika itu dalam pusingan ketujuh menyaksikannya mengungguli pertarungan selama hampir 20 minit itu dengan kemenangan apabila Ndomba mengangkat bendera putih selepas pengadil melakukan kiraan.

“Saya tidak menjangkakan (menang dengan TKO) kerana saya bermula dengan agak perlahan,” kata Farkhan selepas pertarungan itu.

“Saya tidak suka memberikan alasan tetapi saya mengalami kecederaan yang buruk di tangan kanan saya. Sebab itu saya agak perlahan kerana banyak menggunakan tangan kiri.

“Dalam pusingan ketiga, saya tiada pilihan lain kerana lawan amat agresif dan pukulannya amat kuat. Dia juga lebih berpengalaman, jadi saya perlu lakukan sesuatu.

“Saya cuba bertahan dalam pusingan keenam tetapi dalam pusingan ketujuh, dia cuba menghampiri saya. Saya rasa saya dapat melepaskan dua tumbukan yang tepat, satu di ulu hati dan satu di rusuknya.

“Dan itu sahaja, 11-0 (rekod kemenangan KO miliknya),” katanya.

Farkhan juga merupakan juara Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia Light Heavyweight Champion dan Asian Boxing Federation (ABF) Cruiserweight Championship. Kejayaan tersebut sekali lagi mengharumkan nama beliau di persada dunia yang turut membawa nama baik negeri Johor dan negara Malaysia.

Tahniah buat Muhamad Farkhan dan Tahniah buat Team Johor yang terlibat bersama di kejohanan ini. Syabas!