Figueroa dilantik Pengurus pasukan JDT kuatkuasa serta-merta

Aksi Figueroa ketika Final Piala Malaysia 2014 menentang Pahang. Foto: Sumber Google.

Alistair Edwards, Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim dalam satu kenyataan di Laman Sosial Rasmi JOHOR Southern Tigers telah mengumumkan pelantikan Luciano Figueroa sebagai Pengurus baharu JDT dan dibantu oleh Benjamin Mora dan Hamzani Omar sebagai Ketua Jurulatih dan Penolong Jurulatih. Pengumuman tersebut sekaligus memberi jawapan pengendali JDT sebelum ini, Raul Longhi ditamatkan khidmatnya bersama-sama dengan pembantunya Rui Rodrigues dan Ismail Ibrahim.

Walaubagaimanapun ketiga-tiga mereka akan dihantar ke Atletico Madrid, Manchester City dan Wolverhampton Wanderers untuk menjalani kursus bagi menaikkan lagi taraf kejurulatihan selain mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan kejurulatihan yang terdahulu atas perkhidmatan cemerlang mereka selama ini bersama kelab.

Dalam kenyataan tersebut juga, Alistair mengumumkan perubahan di peringkat JDT II dan JDT III dimana Ervin Boban dinaikkan pangkat jurulatih ke JDT II dari JDT III.

Dalam pada itu, pemain yang juga kapten JDT II, Shakir Shaari pula akan dihantar menjalani kursus kejurulatihan untuk menjadi pembantu Ervin Boban di JDT II manakala Marcos Antonio juga akan dihantar berkursus selepas mengumumkan persaraan dari karier bola sepak.

Ini adalah perancangan kelab dari awal musim tetapi kelab tidak mahu mengumumkannya kerana menunggu waktu yang tepat. Kami rasakan inilah masa yang paling tepat demi melakukan persiapan untuk Liga Juara-Juara Asia 2019 dan cabaran tahun-tahun akan datang.

Apa pun perubahan struktur pastinya Pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim lebih memahami dan sentiasa memastikan perjalanan dan perancangan pasukan JDT sentiasa ditambahbaik dan terus mencipta kejayaan untuk masa-masa akan datang.

Benjamin Mora