JDT cipta rekod tanpa kalah kali ke-2

Johor Darul Ta’zim (JDT) menutup saingan Liga Super dengan rekod tanpa kalah selepas mencatat kemenangan pada aksi terakhir menewaskan Melaka 5-0 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Harimau Selatan yang sudah dinobatkan juara Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut menguasai hampir keseluruhan babak pertama namun gagal memecah kebuntuan jaringan selepas Melaka kental bertahan.

Malah beberapa peluang yang terhidang berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Norazlan Razali.

Peluang terbaik JDT mencipta gol pembukaan hadir pada minit ke-19 menerusi Gonzalo Cabrera namun sepakan kencangnya berjaya ditepis keluar Norazlan.

Skuad Hang Tuah yang sesekali memasuki kawasan pelawat turut memiliki peluang menjaringkan gol namun percubaan lemah Sony Norde berjaya diselamatkan penjaga gol Mohd Farizal Marlias pada minit ke-30.

Babak kedua menyaksikan anak buah Benjamin Mora terus berusaha gigih memecah kubu pertahanan Melaka namun tandukan kencang Gonzalo sekali lagi berjaya diselamatkan Norazlan.

Kekebalan benteng tuan rumah bagaimanapun runtuh apabila JDT mencipta jaringan pertama menerusi sepakan penalti Leandro Velazquez pada minit ke-70.

Gol itu jelas menyemarakkan semangat pelawat yang menambah empat lagi jaringan menerusi Shafiq Ahmad pada minit ke-75 diikuti tandukan Aidil Zafuan Abd Razak (m-78), Fernando Rodriguez (m-84) dan Leandro Velazquez (m-90).

FOTO: JOHOR Southern Tigers